PETALING JAYA: Ng Tze Yong dan Goh Jin Wei memberi keceriaan kepada kem badminton negara di Hong Kong apabila melayakkan diri ke separuh akhir buat kali pertama dalam Jelajah Dunia tahun ini.
Selepas mengharungi musim suram dengan 11 kali tersingkir di pusingan pertama dalam 14 penampilan, Jin Wei melakar kejutan pada Terbuka Hong Kong sebentar tadi dengan menyingkirkan pemain No. 9 dunia, Han Yue dari China 12-21, 21-17, 21-18.
Kemenangan itu membolehkan perseorangan wanita profesional negara tersebut menyamakan rekod pertemuan mereka kepada 1-1 sejak kekalahan terakhir pada 2018, iaitu di separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia.
Ini adalah pencapaian terbaik buat juara remaja dunia dua kali itu sejak melangkah ke suku akhir Cabaran Anatrabangsa Bangladesh tahun lalu.
Turun sebagai pemain No. 34 dunia, Jin Wei, 23, kini akan berdepan pemain ranking ke-17 dari China, Zhang Yiman pada separuh akhir esok.
Sementara itu, Tze Yong akhirnya meraih tiket separuh akhir Jelajah Dunia buat kali pertama selepas menumpaskan pemain Denmark, Magnus Johannesen 21-18, 21-12.
Pemain No. 20 dunia itu menunjukkan peningkatan ketara tahun ini dengan menumbangkan beberapa nama besar, termasuk jaguh No. 1 dunia, Viktor Axelsen.
Begitupun langkahnya sering tersekat di suku akhir, di mana dia melayakkan diri dalam lima suku akhir Jelajah Dunia sepanjang 2023 bermula dengan All England, Terbuka Switzerland, Thailand, Korea dan Australia.
Tze Yong bagaimanapun bakal berdepan tugas getir pada separuh akhir esok apabila menentang pemain No. 6 dunia, Jonatan Christie dari Indonesia.
Jonatan memgang rekod 2-1 ke atas Tze Yong, namun pertemuan terakhir kedua-dua pemain memihak perseorangan Malaysia yang menang di Terbuka Australia, Ogos lalu.
Turut meneruskan cabaran Malaysia ke separuh akhir beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mengalahkan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-10, 21-18.
Itu bermakna, Malaysia kini bakal mempunyai empat wakil di separuh akhir esok selepas beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah terlebih dulu melayakkan diri dengan mengalahkan pilihan keempat dari Thailand, Rawinda Prajongjai-Jongkolphan Kittitharakul. 15-21, 21-14, 21-19. – UTUSAN ONLINE