PETALING JAYA: Tropicana Golf & Country Resort telah menganjurkan pertandingan golf pada Rabu lalu bagi meraikan lebih 50 rakan media dan penaja korporat bagi menghargai sokongan mereka selama ini.
Anak syarikat Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) itu meraikan tetamu dengan pertandingan golf, menjamu pelbagai jenis hidangan untuk makan tengah hari, makan malam mewah berserta hadiah untuk pemenang.
Hari Penghargaan Media & Korporat itu bermula pukul 11:30 pagi dengan pendaftaran dan makan tengah hari dan diikuti dengan permulaan serentak untuk para peserta bertarung dalam kejohanan 18 lubang.
Pengarah Eksekutif, Pentadbir Kredit & Pengurusan Resort Tropicana, Yew Kong Chee berkata, Tropicana berbesar hati untuk mengalu-alukan rakan media dan rakan korporat ke kelab dan resort tersebut yang telah beroperasi lebih 29 tahun lalu.
“Penganjuran acara hari ini adalah cara kami untuk memberi kembali kepada masyarakat, sambil mempamerkan layanan ikhlas dari hati untuk tetamu menikmati fasiliti dan kawasan hijau resort,” katanya.
Selepas bertarung di padang golf 18 lubang Tropicana Golf & Country Resort, para tetamu meneruskan acara dengan majlis makan malam dan penyampaian hadiah yang diadakan di Ballroom 1.
Hidangan istimewa malam tersebut adalah pelbagai jenis jamuan ala Barat, di samping persembahan tarian daripada kakitangan resort dan penari jemputan.
Sambil menikmati jamuan, tetamu dan pemain golf dijamu dengan majlis penyampaian hadiah, dengan pemenang membawa pulang tiket Vietnam Airlines ke Vietnam dan tiket Premier Leisure Golf ke Bangkok.
Selain itu, hadiah cabutan bertuah bola golf Srixon dan green-fee percuma serta baucar makan turut ditawarkan sebagai hadiah, manakala pelbagai hadiah cenderahati diberikan kepada semua yang hadir berupa baucar-baucar dari Focus Point, Thai Odyssey dan Waxright Enterprises.
Maklumat lanjut mengenai resort, restoran, fasiliti dan padang golf boleh diperolehi dengan melawati tropicanagolf.com atau ikuti facebook.com/TropicanaGolf.-UTUSAN ONLINE