NICE: Juara 2003, England berdepan tugas sukar menentang Jepun dalam aksi kedua Kumpulan D, Ragbi Piala Dunia hari ini kerana gergasi Asia itu dijangka menggunakan taktikal bola sepak ‘tiki taka’ sama yang pernah diterapkan oleh Pep Guardiola di Barcelona.
Barisan kejurulatihan England percaya, skuad Brave Blossoms gemar mengekalkan penguasaan bola secara bergerak melalui permainan menyerang yang rumit, dengan sejumlah pemain mereka terlibat dalam setiap ‘set-up’ di serangan.
Corak menyerang itu akan memberi cabaran baharu buat Red Rose, yang memenangi aksi pembukaan menumpaskan Argentina 27-10 di Marseille, 9 September lalu.
“Barisan kejurulatihan kami melihat serangan Jepun sama seperti Barcelona yang pernah dibimbing oleh Guardiola.
“Mereka mahu menggerakkan bola, menyimpannya untuk tempoh lama dan melakukan itu bagi mencari ‘lubang’ atau kelemahan pertahanan,” kata prop England, Joe Marler.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung pada November tahun lalu, England memusnahkan scrum mereka dan menang 52-13.
“Selama setahun ini, kami bekerja keras menguatkan scrum, harap kami mampu memberi saingan,” kata jurulatih scrum Jepun, Shin Hasegawa.
Enam kekalahan England dalam sembilan perlawanan sebelum Piala Dunia menyebabkan ramai menjangkakan mereka tiba di Perancis dalam keadaan gugup, namun Hasegawa tidak bersetuju.
Jepun juga menunjukkan peningkatan hebat sejak beberapa tahun lalu dengan mengejutkan Afrika Selatan pada Piala Dunia 2015, menumpaskan Ireland dan Scotland pada 2019 sebelum membuka kempen 2023 dengan mengalahkan Chile 42-12. – AGENSI