NEW YORK: Bakat generasi baharu sentiasa menjadi perbualan dalam saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS), namun Caroline Wozniacki mengingatkan peminat tenis mengapa mereka tidak harus melupakan pemain veteran yang masih bersaing di peringkat tertinggi.
Beraksi pada kejohanan Grand Slam pertamanya dalam tempoh lebih tiga tahun sejak melahirkan dua anak, bekas pemain No. 1 dunia dari Denmark itu menewaskan pilihan ke-11, Petra Kvitova 7-5, 7-6 (7/5) di Stadium Arthur Ashe semalam.
Wozniacki, 33, menangis kegembiraan sebaik sahaja memenangi perlawanan pertamanya ke atas pemain 20 terbaik dunia sejak Pusingan Akhir WTA 2018.
Bersara, menimang dua orang anak dan kembali ke sukan yang digemari, Wozniacki kini bersedia untuk menentang warga Amerika Syarikat, Jennifer Brady di pusingan ketiga hari ini.
“Saya rasa amat selesa di New York.
“Sejak tiba di sini, beraksi di gelanggang, segala-galanya membuatkan saya berasa sangat bagus,” kata juara Terbuka Australia 2018 itu.
Dia turun dengan reputasi naib juara 2009 dan 2014, namun tidak mengharapkan keputusan hebat kerana sedar baru kembali ke gelanggang selepas tiga tahun ‘bercuti’. – AGENSI