JELI: Malang tidak berbau apabila sebuah van pasukan yang terlibat dengan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 terbabit dengan kemalangan jalan raya pada awal pagi tadi di sekitar kawasan Jeli.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, Emir Abdul Jalal.
Van tersebut merupakan kenderaan pasukan Giant Cycling Team yang membawa tiga orang pelumba China susulan mereka tidak dibenarkan menyertai perlumbaan peringkat ketiga hari ini yang berlangsung dari Jeli ke Baling gara-gara lewat tiba di kawasan permulaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli.
Insiden yang berlaku ketika hujan renyai itu menyaksikan van tersebut hilang kawalan lalu terbabas ketika melalui zon neutral perlumbaan di Jeli.
Antara mangsa yang dikenalpasti adalah Lin Chuanyang, Wang Zichen dan Huang Junlei serta pegawai pasukan Song Guo Qiang, namun kesemua mereka tidak mengalami kecederaan serius.
“Saya mengesahkan bahawa ada kemalangan membabitkan tiga pelumba LTdL pada pagi tadi. Mereka tidak menyertai perlumbaan kerana lambat hadir ke kawasan perlumbaan, dan tidak dibenarkan memulakan perlumbaan pada hari ini. Jadi sebab itu ketiga-tiga mereka menaiki van pasukan terus menuju kawasan penamat,” jelas Emir ringkas ketika dihubungi-UTUSAN ONLINE