PETALING JAYA: Penyerang Malaysia Bawah 23 tahun (B-23), Fergus Tierney mengakui, persembahan pasukan negara tidak terlalu baik ketika mengalahkan Bangladesh 2-0 dalam aksi sulung kelayakan Piala Asia B-23 2024, Rabu lalu.
Katanya, Malaysia perlu tampil lebih mantap dan wajib memenangi pertemuan ke atas Filipina dalam aksi kedua Kumpulan H, di Stadium Chonburi, Thailand hari ini.
Tegasnya, tidak kira berapa jaringan yang dihasilkan atau siapa menjaringkan gol, yang penting perlawanan harus berakhir dengan tiga mata memihak Malaysia.
Memandangkan perlawanan terakhir jauh lebih getir, menentang tuan rumah, Thailand pada 12 September depan, memenangi dua aksi pertama kumpulan satu-satunya jalan untuk menghidupkan harapan.
“Perlawanan dengan Bangladesh sudah berakhir dan kita dapat tiga mata. Itu paling penting walaupun tidak menjaringkan banyak gol dan tidak memberikan persembahan terbaik.
“Sekarang kita sedia lawan Filipina. Kami tidak kisah berapa jaringan sama ada satu atau lima yang penting tiga mata. Saya percaya dengan pasukan serta buat penyokong teruskan sokongan dan kami hargainya,” katanya yang menjaringkan gol kedua Malaysia ketika berdepan Bangladesh.
Biarpun Filipina dibelasah 5-0 oleh Thailand dalam aksi pertama, namun katanya, Malaysia tidak boleh memandang mudah kemampuan lawan.
Sementara itu, pemain tengah, Nooa Laine percaya, dia berada dalam keadaan terbaik walaupun menempuh perjalanan jauh dari Finland, dan bersedia untuk diturunkan.
“Saya rasa bagus walaupun perjalanan jauh dan saya sudah sertai satu latihan dan ia cukup buat saya,” katanya.