NEW YORK: Pemain remaja Amerika Syarikat (AS) Coco Gauff mara ke final perseorangan wanita tenis Terbuka AS buat kali pertama selepas menewaskan Karolina Muchova dalam separuh akhir yang diganggu oleh penunjuk perasaan.
Gauff, 19, melengkapkan kemenangan 6-4 7-5 ke atas pilihan ke-10 dari Czech, Muchova apabila pasangan itu menyambung semula selepas penangguhan selama 49 minit.
Gauff tidak dapat menukar mata perlawanan apabila membuat servis pada kedudukan 5-4, tetapi mematahkan servis Muchova untuk melakar kemenangan selepas memenangi rali 40 pukulan.
Pilihan keenam itu akan menentang Aryna Sabalenka atau Madison Keys pada perlawanan akhir Sabtu ini.
Ia akan menjadi percubaan kedua beliau untuk memenangi perlawanan akhir perseorangan Grand Slam selepas menamatkan saingan di tempat kedua kepada Iga Swiatek dari Poland pada Terbuka Perancis 2022.
Gauff mengangkat penumbuknya selepas meraih kemenangan, menandakan kekentalan dan semangat juangnya yang mencetus keterujaan dalam kalangan penonton di Stadium Arthur Ashe.
Gauff akhirnya memperoleh kemenangan yang merupakan bukti keazamannya sendiri dan ketabahan mental yang dia katakan telah berkembang sepanjang musim pada pertarungan di gelanggang keras.
Pilihan kedua dari Belarus, Sabalenka, yang akan menjadi pemain nombor satu dunia baharu selepas kejohanan itu, bertemu pilihan ke-17 Keys pada separuh akhir kedua pada Khamis nanti. – AFP