PETALING JAYA: Kurang berani ketika berada di dalam gelanggang yang berangin faktor utama kekalahan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada separuh akhir badminton Terbuka China di Changzhou semalam.
Pasangan utama negara itu gagal meneruskan langkah cemerlang apabila tumpas 16-21, 13-21 kepada beregu No. 8 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis.
Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, anak-anak buahnya tidak bermain seperti kebiasaan menentang Gicquel-Delphine.
“Hari ini (semalam) Tang Jie-Ee Wei tidak beraksi dalam permainan yang menjadi kebiasaan mereka.
“Mereka kurang berani dan kurang pintar bermain di gelanggang angin besar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut jurulatih kelahiran Indonesia itu, pasangan Perancis lebih berani dan bijak mengendalikan permainan.
Jelasnya, keletihan atau tidak fokus bukan faktor kekalahan Tang Jie dan Ee Wei.
“Dalam keadaan gelanggang yang sedemikian Tang Jie dan Ee Wei perlu pantas membuat keputusan dan sebaliknya kelebihan itu yang dimiliki lawan mereka,” ujar Nova.
Sementara itu, cabaran satu lagi beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga tersekat di separuh akhir apabila tumpas kepada juara dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 19-21, 11-21.
Kekalahan itu mengakhiri langkah cemerlang pasangan profesional itu sepanjang di China.
Kelmarin, Kian Meng-Pei Jing mengejutkan juara dunia 2021 dan pilihan keempat, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari
Thailand, sekali gus menamatkan badi tujuh kekalahan berturut-turut.
Beregu No. 23 dunia itu juga cemerlang di pusingan kedua apabila menewaskan juara All England 2020 dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.