PETALING JAYA: Malaysia memiliki dua wakil dalam saingan beregu campuran pada separuh akhir selepas Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengatasi lawan masing-masing di peringkat lapan terbaik Kejohanan Badminton Terbuka China di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, China, hari ini.
Kali pertama melangkah ke separuh akhir dalam kejohanan berstatus Super 1,000 itu, Tang Jie-Ee Wei menewaskan gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 21-15, 13-21, 21-16.
Pada separuh akhir gandingan No. 11 dunia itu akan bertemu pasangan No. 8 dunia dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang pernah mereka tewaskan pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Dunia di Denmark, bulan lalu.
Di suku akhir, Gicquel-Delphine menundukkan pilihan kedua, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun 22-20, 21-14.
Satu lagi gandingan negara, Kian Meng-Pei Jing mengejutkan pilihan keempat, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 21-18, 21-19 dalam masa 40 minit.
Pasangan negara yang menghuni ranking ke-23 dunia itu bakal berdepan satu lagi laluan getir menentang beregu Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung yang baharu sahaja dinobatkan selaku juara dunia, bulan lalu, dalam laluan mereka memburu tempat ke perlawanan akhir.
Beregu No. 5 dunia, Seung Jae-Yu Jung menyingkirkan gandingan tuan rumah yang juga pilihan pertama, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 17-21, 21-13, 21-17. – UTUSAN ONLINE