Syritsa tawan peringkat kelapan, Carr lakar sejarah juara keseluruhan LTdL 2023 - Utusan Malaysia

Syritsa tawan peringkat kelapan, Carr lakar sejarah juara keseluruhan LTdL 2023

KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER 2023 - Pelumba pasukan EF Education-Easypost, Simon Carr ditabalkan sebagai juara keseluruhan siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pecutan pelumba pasukan Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa membuahkan hasil apabila berjaya mengungguli peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang berakhir di Menara Berkembar Kuala Lumpur hari ini.

Perlumbaan sejauh 156.6 kilometer (km) dari Setia Alam menuju ke Kuala Lumpur berlangsung dengan cukup sengit biarpun beberapa jersi utama saingan sudah sukar untuk dicabar kebanyakkan pelumba.

Skuad kebangsaan negara ternyata agresif untuk perlumbaan peringkat terakhir ini apabila mengungguli dua daripada tiga zon pecutan yang ditawarkan.

Bermula di km 32.2 Kapar yang menjadi milik Nur Aiman Rosli, sebelum rakan sepasukan, Muhammad Shaiful Adlan Shukri menawan zon pecutan kedua di km 49.4 Sungai Buloh, manakala zon pecutan ketiga di k 119.4 Paya Jaras menjadi milik David Gaburro (Green Project Bardiani CSF-Faizane).

Hanya dua zon dakian sahaja menjadi cabaran untuk para pelumba pada peringkat ini dengan Xabier Isasa (Esukatel-Esukadi) menguasainya di km 15.4 Puncak Alam dan Polychronis Tzortzakis (Roojai Online Insurance) di km 19.4 Meru.

Bagaimanapun peloton bergerak laju menuju ke garisan penamat yang menyaksikan Syritsa lebih tangkas untuk muncul juara pada hari terakhir perlumbaan ini.

KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER 2023 – Pelumba dari pasukan Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa (jersi hijau hitam) menjadi juara peringkat kelapan siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang berlangsung dari Setia Alam ke Kuala Lumpur pada hari ini. GAMBAR – AMIR KHALID

Ini merupakan kemenangan kedua Syritsa di LTdL 2023 selepas menjuarai peringkat kedua perlumbaan dari Kuala Terengganu ke Kota Bahru tempohari.

Tempat kedua milik Daniel Babor (Caja Rural Seguros RGA), sementara Arvid de Kleijn (Tudor Pro Cycling) terpaksa akur meraih tempat ketiga.

Begitupun keputusan ini langsung tidak menjejaskan kedudukan pelumba EF Education-Easypost, Simon Carr untuk ditabalkan sebagai juara keseluruhan selepas berjaya mengekalkan penguasaan jersi hijau sejak peringkat kelima perlumbaan dengan kelebihan masa 0.49 saat (s).

KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER 2023 – Pasukan EF Education-Easypost dinobatkan sebagai pasukan terbaik keseluruhan pada siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 di sini hari ini. GAMBAR – AMIR KHALID

Tiga lagi jersi utama yang lain turut tidak terusik dengan De Kleijn sah menamatkan saingan dengan menyarung jersi jingga (Raja Pecut), manakala rakan sepasukan Simon Pellaud merampas jersi bintik merah untuk meraih gelaran Raja Bukit untuk edisi kali. Jersi putih pula disandang pelumba Vadim Pronskiy dari Astana Qazaqstan.

Malaysia masih boleh mendabik dada apabila pelumba negara, Izzat Hilmie Abdul Halil menamatkan saingan di tempat kelima pada perlumbaan ini.

“Syukur Alhamdulillah kepada rakan sepasukan saya yang membantu daripada awal hingga akhir. Perlumbaan tadi sangat laju, sejak dari awal perlumbaan.

“Satu kilometer akhir saya cuba untuk memecut sehingga berlaga kepala dengan pelumba lain, dan 500 meter terakhir saya sudah separuh mati kerana intensiti kelajuan yang sangat tinggi, tapi bersyukur saya tetap berjaya kedudukan lima terbaik,” jelas Izzat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya