PETALING JAYA: Malaysia berdepan laluan sukar dalam saingan badminton berpasukan lelaki Sukan Asia Hangzhou apabila akan memulakan kempen dengan menentang juara tiga kali, Korea Selatan esok.
Sekiranya berjaya melepasi halangan pertama, cabaran Malaysia untuk memburu tiket separuh akhir tidak mudah kerana perlu pula berdepan pasukan pilihan dan juara empat kali, Indonesia di suku akhir.
Dalam undian yang diadakan hari ini, Malaysia tidak mendapat status pilihan, sekali gus tidak mendapat bye (laluan percuma) di pusingan pertama.
Sebaliknya juara Piala Thomas, India menerima bye bersama Indonesia dan China akan berdepan sama ada Nepal atau Mongolia di suku akhir.
Mereka diletak dalam undian yang sama dengan Indonesia, Korea dan Malaysia.
Juara bertahan, China yang diletak dalam kelompok undian bersama Jepun dan Thailand akan memulakan kempen dengan menentang Taiwan atau Bangladesh di suku akhir.
Jepun akan membuka kempen dengan menentang Singapura, manakala Thailand bertemu Hong Kong. – UTUSAN ONLINE