PETALING JAYA: Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai muncul wakil tunggal Malaysia mara ke suku akhir beregu campuran pada Terbuka Hong Kong di Kowloon, hari ini.
Pasangan No. 12 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan 21-12, 21-9 pada pusingan kedua, malam tadi.
Lawan menanti Soon Huat-Shevon di suku akhir ialah pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.
Bagaimanapun, kemaraan beregu berpengalaman itu tidak mampu diikuti satu lagi gandingan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila kecundang di tangan Guo Xin Wa-Wei Ya Xin dari China 18-21, 21-12, 19-21.
Beregu No. 9 dunia, Tang Jie-Ee Wei yang pada awalnya berada di ambang kemenangan ketika mendahului 19-15 dalam set ketiga, secara tiba-tiba kehilangan momentum apabila membiarkan lawan mengejar sebelum tunduk 19-21.
Sementara itu, dalam aksi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao gagal memberikan tentangan sengit kepada pilihan kedua, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia apabila tewas straight set 14-21, 11-21. – UTUSAN ONLINE