PETALING JAYA: Skuasy antara sukan yang menjadi sandaran pingat emas, walaupun Kontinjen Malaysia enggan menyatakan secara khusus tentang sasaran warna pingat pada Sukan Asia di Hangzhou, China yang bakal membuka tirai temasya pada 23 September ini.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam berkata, Kontinjen Malaysia memang tidak meletakkan sebarang sasaran warna pingat, tetapi daripada pihak SRAM sekurang-kurangnya satu pingat mungkin di bawa pulang ke tanah air.
“Kami ditanya berapa pingat emas kami mampu bawa pulang, situasinya begini, kita boleh sahaja membawa pulang pingat emas lebih daripada sasaran ataupun sebaliknya.
“Ini kerana persaingan diakui bakal berlangsung sengit, tiada pasukan atau pemain yang boleh dianggap sebagai pilihan, ada acara kita mendapat laluan mudah, tetapi ada juga yang sukar.
“Jadi, apabila anda gagal mengendalikan tekanan dan pemain lawan beraksi dengan cemerlang pada hari berkenaan, justeru, apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, pada Sukan SEA, Malaysia tidak berdepan masalah untuk meraih emas, tetapi, kali ini, pentas yang menjadi pertaruhan adalah Sukan Asia.
Jelas beliau, jadi, sasarannya sudah tentu berbeza, tetapi, apa yang boleh dijanjikan ialah sekurang-kurangnya satu pingat emas tanpa merujuk kepada mana-mana pemain yang mampu berbuat demikian.
“Saya berkata demikian kerana pada temasya yang lalu (di Indonesia), dalam acara perseorangan Datuk Nicol dan Sivasangari berentap dalam final, tetapi, untuk berpasukan, walaupun kita ada dua pilihan utama iaitu Nicol serta Sivasangari, Malaysia tunduk kepada India pada separuh akhir.
“Tetapi, dalam acara berpasukan lelaki, kesemua tiga pemain kita iaitu Nafiizwan (Adnan), Ivan (Yuen) dan (Ng Eain) Yow, jelas ‘underdog’, namun, kita lakar kejutan memenangi emas setelah tewaskan Hong Kong,” ujarnya.
Mengulas mengenai tekanan yang diterima atlet, Maniam memberitahu, sudah tentu para pemain tidak dapat mengelak daripada situasi tersebut selagi sasaran itu diperkatakan, tetapi, semua isu berkenaan boleh diatasi tanpa sebarang masalah. – UTUSAN ONLINE