PETALING JAYA: Pasukan skuasy lelaki Malaysia gagal mempertahankan pingat emas yang mereka menangi di Indonesia, lima tahun lalu, selepas tunduk kepada India 0-2 pada separuh akhir acara berpasukan Sukan Asia di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, China, hari ini.
Perseorangan kedua, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar yang berdepan Abhay Singh gagal menyaingi pemain India itu apabila kecundang 3-11, 10-12, 11-9, 6-11 dalam masa 57 minit.
Keciciran 0-1, meletakkan Ng Eain Yow menggalas tugas berat untuk mengikat kedudukan, namun, pemain No. 19 dunia itu tewas kepada pemain veteran India, Saurav Ghosal 8-11, 6-11, 12-10, 3-11 dalam aksi yang berlangsung lebih sejam.
Kekalahan itu juga menyaksikan Malaysia berkongsi pingat gangsa dengan Hong Kong yang turut tewas kepada Pakistan 1-2 dalam satu lagi separuh akhir.
Namun, apa yang membimbangkan ialah pemburuan pingat emas dalam acara perseorangan lelaki di mana Eain Yow diletakkan sebagai pilihan pertama.
Jika Eain Yow berjaya mara sehingga ke final, Ghosal merupakan lawan yang mungkin menantinya dalam perebutan pingat emas.
Kekalahan ditangan Ghosal itu adalah kali kedua berturut-turut dalam tempoh terdekat ini, selepas Eain Yow tumpas kepada pemain berpengalaman tersebut pada Terbuka Paris, bulan lalu.
Acara perseorangan akan bermula, Ahad ini, namun, Eain Yow yang mendapat bye dalam pusingan pertama hanya akan turun ke gelanggang pada Isnin. – UTUSAN ONLINE