PETALING JAYA: Dua bintang skuasy, Ng Eain Yow dan S. Sivasangari mengetuai prospek utama pingat emas Malaysia dalam edisi ke-19 Sukan Asia yang membuka tirai secara rasmi di Hangzhou semalam.
Biarpun tiada sasaran emas ditetapkan kontinjen negara, namun kilauan emas dijangka tetap hadir daripada 288 atlet yang menggalas cabaran.
Selain skuasy yang dianggap ‘deposit tetap’ emas Malaysia, peluang terbaik juga dijangka hadir menerusi jaguh karate, S. Prem Kumar, Tan Cheong Ming (wusyu) serta atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif.
Tanpa Datuk Azizulhasni Awang yang menarik diri di saat akhir akibat kecederaan, berbasikal tidak lagi menjadi sandaran emas, manakala hoki lelaki dan sepak takraw mampu menghadirkan elemen kejutan.
Meletakkan sasaran 27 pingat keseluruhan tanpa mengira warna ‘jalan selamat’ untuk mengelak atlet negara menerima kecaman andai gagal memenuhi sasaran seperti yang berlaku dalam Sukan SEA di Kemboja, Mei lalu.
Sasaran itu lebih rendah daripada 36 pingat keseluruhan yang diraih di Jakarta-Palembang pada 2018, namun tanpa kehadiran boling dan silat yang tidak dipertandingkan, boleh difahami mengapa Majlis Sukan Negara (MSN) tidak berani meletakkan sasaran tinggi.
Malaysia hilang 12 pingat yang diraih lima tahun lalu iaitu dua emas daripada boling, enam perak (dua dari boling, empat silat) serta empat gangsa (silat).
Eain Yow yang turun sebagai juara dan naib juara Asia, bukan sahaja menjadi harapan untuk menyumbangkan emas dalam acara individu, malah berpasukan.
Prem, 29, pula berada pada prestasi terbaik untuk menghadirkan pingat dalam saingan kumite 55 kilogram (kg) selepas meraih pingat gangsa Kejohanan Asia di Melaka, Julai lalu, selain memenangi emas Sukan SEA Kemboja.
Bagi sukan pelayaran, Nur Shazrin yang memulakan perlumbaan awal dengan mantap menjadi sandaran untuk memenangi acara ILCA 6 wanita berdasarkan pencapaiannya dalam Kejohanan Dunia di Hague, Ogos lalu.
Atlet berusia 25 tahun itu mendahului saingan selepas tujuh perlumbaan, menghuni ranking ke-45 dunia dan berada di tangga kedua Asia.
Selain itu, Cheong Ming juga menjadi harapan emas selepas tiba di Hangzhou dengan reputasi sebagai juara dunia selain meraih dua emas pada Sukan SEA Kemboja.
“Saya mahu terus meningkat dan mencuba kesukaran lebih tinggi. Perkara paling penting adalah kestabilan ketika melakukan rutin mesti capai 100 peratus,” kata Cheong Min.