PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mahu skuad futsal Harimau Malaya bangkit dengan prestasi membanggakan pada Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Fergana, Uzbekistan.
Hamidin juga menuntut peningkatan prestasi daripada skuad kendalian Rakphol Sainetngam itu dengan menekan pemain perlu menampilkan aksi yang baik dalam setiap saingan yang bermula dari 7 hingga 11 Oktober depan.
“Pemain perlu ingat jika terus fokus, tidak mustahil untuk Malaysia mampu mencipta kejutan. Bukan itu sahaja, pemain juga dituntut untuk bermain dengan baik pada aksi persahabatan di Thailand nanti.
“Bukan mudah untuk kita diberi penghormatan menyarungkan jersi kebangsaan, maka gunakan peluang itu sebaiknya dan harumkan nama negara,” kata Hamidin dalam satu kenyataan hari ini.
Skuad futsal yang disertai 20 pemain itu akan berlepas ke Thailand pada 24 September ini bagi berdepan tiga aksi pesabahatan menentang tuan rumah, Afghanistan dan Chinese Taipei.
Skuad futsal Harimau Malaya akan bersaing dalam Kumpulan G kelayakan dengan berdepan Iraq pada 7 Oktober, Uzbekistan pada 9 Oktober dan Kemboja pada 11 Oktober 2023 di Samo Sports Complex, Fergana.- UTUSAN ONLINE