PETALING JAYA: Shereen Samson Vallabuoy menamatkan penantian 17 tahun Malaysia untuk memenangi pingat olahraga dalam Sukan Asia apabila meraih gangsa 400 meter (m) wanita di Hangzhou, hari ini.
Pelari yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu menamatkan perlumbaan dengan catatan 52.58 saat (s).
Mujidat Adekonya dari Bahrain meraih emas dengan masa 50.66s, manakala perak milik rakan senegaranya, Salwa Eid Naser menerusi catatan 50.92s.
Shereen, 25, menjadi atlet olahraga Malaysia pertama meraih pingat Sukan Asia selepas Noraseela Khalid memenangi gangsa 400m lari berpagar pada 2006. – UTUSAN