PETALING JAYA: Pemegang rekod kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy melayakkan diri ke perlumbaan akhir 400 meter (m) wanita dalam penampilan pertamanya pada Sukan Asia apabila memenangi saringan ketiga di Hangzhou, hari ini.
Pelari yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mencatat masa 52.89 saat (s) untuk mengetepikan Hoang Thi Minh Hanh dari Vietnam yang menduduki tempat kedua dengan catatan masa 53.49s.
Hanya dua pelumba terbaik setiap saringan layak secara automatik ke perlumbaan akhir yang akan berlangsung di Stadium OIimpik Hangzhou esok.
Shereen, 25, yang memiliki rekod peribadi terbaik 51.80s, mencatat masa kelima terpantas pada peringkat saringan hari ini.
Pelari Bahrain, Adekoya Oluwakemi Mujidat muncul pelari terpantas dengan masa 50.53s, diikuti rakan senegaranya yang juga juara bertahan, Salwa Eid Naser (52.52s) dan Nadeesha Ramanayaka dari Sri Lanka (52.67s).
“Fokus utama hari ini adalah untuk melayakkan diri ke perlumbmaan akhir, jadi saya gembira dapat melakukannya. Saya akan beri segala-galanya dalam final nanti kerana sasaran utama saya adalah untuk mendapatkan podium buat negara.
“Ini penampilan pertama saya dalam Sukan Asia, jadi saya memang berharap untuk mara ke final dan menghadiahkan pingat buat negara,” kata Shereen yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja itu, Mei lalu.
Sementara itu, hasrat juara 400m lelaki Sukan Asia, Umar Osman untuk turut melayakkan diri ke perlumbaan akhir tersekat apabila menamatkan saringan ketiga di tempat keempat.
Umar mencatatkan masa 46.58s, meletakkan dirinya di kedudukan ke-11 daripada dari 22 atlet yang bertanding. Hanya lapan terbaik akan layak peringkat akhir.
Catatan yang dilakukan Umar, 20, jauh daripada rekod kebangsaan miliknya, 46.09s yang dilakukan di Kemboja, Mei lalu. – UTUSAN ONLINE