MELAKA: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail sedia untuk menawarkan kepakarannya dalam membantu mana-mana persatuan sukan biarpun kini tidak lagi berkhidmat sebagai orang No. 1 dalam badan induk itu.
Shapawi, 60 tahun secara rasminya bersara pada hari ini selepas berkhidmat selama 35 tahun bersama MSN sejak 1988, dan mula memegang tampuk kepimpinan badan induk itu pada 2014, menggantikan arwah Datuk Seri Zulkeples Embong.
Biarpun Shapawi kini tidak lagi berkhidmat dengan MSN, namun dia akan kekal meneruskan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang bakal tamat pada Sabtu.
Shapawi diraikan secara ringkas dalam satu majlis ketika penamat peringkat keenam LTdL 2023 di Bandar Hilir, Melaka hari ini.
“Hari ini merupakan hari jadi saya yang ke 60 dan saya bakal memulakan bab baru dalam kehiduan saya sebagai seorang persara.
“Saya telah diberikan peluang untuk mengetuai MSN untuk membawa dimensi baru prestasi tinggi kepada sukan Malaysia, dan saya bersyukur dalam membuktikannya ketika Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017 (apabila Malaysia muncul juara keseluruhan).
“Salah satu detik membanggakan adalah ketika mendapat tempat keempat keseluruhan ketika Sukan Komanwel 1998 (di Kuala Lumpur). Itu merupakan satu cabaran yang besar, terutamanya sebagai negara tuan rumah tetapi kita berjaya melakukannya.
“Saya kini ada cucu dan saya bercadang untuk menghabiskan masa dengan keluarga saya. Tetapi jika ada persatuan sukan yang berminat dengan khidmat saya, saya sedia membantu demi kebaikan sukan Malaysia,” jelas Shapawi ketika ditemui media.
Dalam masa yang sama, Shapawi turut jelaskan antara kekesalannya sepanjang mengemudi MSN adalah kegagalan kontinjen Malaysia menghadirkan kilauan pingat emas di temasya sukan terbesar dunia, iaitu Sukan Olimpik.
“Kita masih belum berjaya capai hasrat negara untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik. Walaupun kita sudah berjaya memenanginya di Sukan Paralimpik, namun kita masih belum dapat kejayaan untuk Sukan Olimpik.
“Saya doakan Malaysia akan turut berjaya, memecahkan kebuntuan mendapatkan pingat emas di Sukan Olimpik nanti,” tambahnya.