PETALING JAYA: Sepak takraw akan kembali menggunakan sistem 15 mata setiap set selepas perkara itu diluluskan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) hari ini.
Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, penggunaan sistem pengiraan baharu 15 mata setiap set, dan bukannya 21 mata sebagaimana sebelumnya akan berkuat kuasa pada 2 Februari tahun depan.
Katanya, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Kejohanan Sepak Takraw Dunia Ke-36 Piala Raja Thai 2023 pada 15 Julai lalu.
“Istaf memutuskan dan meluluskan penggunaan sistem pengiraan baharu yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 2 Februari 2024 (selepas enam bulan dari tarikh kelulusan) untuk semua kejohanan sepak takraw.
“Ini bagi memberi masa yang cukup kepada pemain dan pasukan untuk menyesuaikan diri dan menerima pakai sistem baharu itu, untuk kekal berdaya saing di semua peringkat pertandingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Abdul Halim yang juga presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) berkata, Istaf menolak penggunaan sistem baharu itu di Sukan Asia Hangzhou, kerana temasya sukan itu hanya tinggal 10 hari lagi untuk diadakan, menjadikan ia bagaikan tidak adil kepada pemain dan pasukan.
Beliau menambah semua perubahan besar dalam peraturan permainan sepak takraw hanya perlu diterima pakai selepas enam bulan dari penerimaan dan kelulusan cadangan. – UTUSAN ONLINE