SINGAPURA: Walaupun saingan Formula Satu (F1) 2023 masih berbaki lapan perlumbaan, Red Bull boleh mengesahkan kejuaraan pengeluar dunia lebih awal pada Grand Prix (GP) Singapura, hujung minggu ini.
Menuju ke Singapura, pasukan itu mengumpul 583 mata, 310 mata mengatasi pencabar terdekat mereka, Mercedes.
Red Bull memenangi semua 14 perlumbaan musim ini, dan itu bermakna mereka boleh muncul juara awal dalam beberapa situasi.
Jika berjaya mencatat penamat 1-2 dengan pusingan terpantas dan Mercedes mendapat satu mata atau kurang, Red Bull akan dinobatkan sebagai juara.
Mereka juga disahkan gelaran jika mencatat kedudukan 1-2 dan Mercedes gagal mengutip mata.
Pemandu Red Bull dan pendahulu pemandu dunia, Max Verstappen bagaimanapun menegaskan, perlumbaan di Singapura tidak mudah dan secara realistik, perlu menunggu GP Jepun minggu depan untuk mengesahkan kejuaraan.
Juara dunia dua kali itu tidak pernah menang di litar jalanan Marina Bay, malah menduduki tangga ketujuh tahun lalu.
“Singapura mungkin cabaran terhebat pada baki perlumbaan kerana litar jalanan dan ruang yang biasanya sempit, selain cabaran haba dan kelembapan.
“Tahun lalu, kami melalui minggu yang kurang bernasib baik dan diharapkan tahun ini ia menjadi lebih baik,” kata pemandu Belanda itu. – AGENSI