Pogba tiada niat ambil bahan terlarang

Pogba tiada niat ambil bahan terlarang

PAUL POGBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN: Ejen Paul Pogba menegaskan, bintang tengah Juventus itu tidak berniat melanggar peraturan selepas gagal dalam ujian doping yang dijalankan pengelola Serie A.

Ujian darah yang dilakukan terhadap penyerang berusia 30 tahun itu selepas kemenangan 3-0 ke atas Udinese pada 20 Ogos lalu menunjukkan tahap testoste­ron dalam badannya sangat tinggi dan tidak normal.

Pogba tidak beraksi dalam perlawanan tersebut tetapi ­dipilih untuk menjalani ujian rawak.

Sampel B pemain Perancis itu akan dianalisis dalam beberapa hari dan Juventus juga mengambil pendekatan menggantungnya buat sementara.

“Kami sedang menunggu keputusan analisis balas dan tidak boleh berkata apa-apa sehingga itu.

“Satu-satunya perkara yang pasti, Pogba tidak pernah berniat untuk melanggar peraturan,” kata ejen Pogba, Rafaela Pimenta.

Sementara itu, Juventus akan menilai langkah yang perlu diambil bagi mempertahankan Pogba, termasuk mengandaikan bahan terlarang tersebut telah mencemari bahan lain yang diambil secara tidak sengaja.

Menurut Tribunal anti-doping Itali, Nado, Pogba digantung sementara berkuat kuasa serta-merta. Dia boleh digantung sehingga empat tahun jika disabitkan bersalah.

Pogba hanya membuat dua penampilan untuk Juventus musim ini, kedua-duanya dari bangku simpanan.

Kepulangannya dari Manchester United tahun lalu penuh kesukaran akibat kecederaan dan isu luar padang. Pemenang Piala Dunia 2018 itu hanya beraksi enam kali dalam Serie A musim lalu.

Dia menyertai kelab Itali itu untuk tempoh kedua pada ­Julai 2022 selepas meninggalkan ­United sebagai ejen bebas.

Selain berdepan isu kece­deraan, Pogba didakwa menjadi sasaran plot pemerasan bernilai 11.3 juta pound (RM66.08 juta) oleh abangnya Mathias dan rakan-rakan zaman kanak-kanak.

Pogba berkata, insiden itu membuatkan dia mempertimbangkan untuk meninggalkan bola sepak.

“Wang mengubah orang… ia boleh meme­cah belahkan keluarga. Ia boleh mencetus perang. Kadang-kadang saya berfikir. saya tidak mahu memiliki wang lagi.

“Saya tidak mahu bermain lagi. Saya hanya mahu bersama orang biasa, jadi mereka me­nyayangi saya ­seadanya saya, bukan kerana kemasyhuran atau wang,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya