PETALING JAYA: Jangan tertekan atau ‘koyak’ hanya kerana berdepan undian getir dalam saingan badminton berpasukan lelaki, antara acara yang menjadi sasaran pingat Malaysia dalam Sukan Asia di Hangzhou.
Dalam undian yang dilakukan semalam, pasukan negara yang diketuai Lee Zii Jia akan memulakan kempen dengan menentang juara tiga kali, Korea Selatan hari ini.
Sekiranya berjaya melepasi halangan pertama, cabaran Malaysia untuk memburu tiket separuh akhir tidak mudah kerana perlu pula berdepan pasukan pilihan dan juara empat kali, Indonesia di suku akhir.
“Perlawanan pertama tidak tidak mudah tetapi bukan juga terlalu sukar, sebenarnya kita juga ada peluang yang baik dalam saingan perseorangan.
“Cuma untuk acara beregu, peluang adalah 50-50 tetapi saya tetap percaya, beregu kita juga agak kuat dan boleh menghadiahkan mata kepada pasukan.
“Mengenai bertemu Indonesia (suku akhir), nasihat saya kepada pemain jangan terlalu fikirkan sejauh itu, kita fikir satu demi satu terlebih dulu. Selesaikan perlawanan dengan Korea, kemudian baru kita fikir apa perlu dilakukan seterusnya,” kata Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky kepada Utusan Malaysia.
Rexy juga mengingatkan pemain agak tidak terlalu tertekan untuk menghadapi perlawanan itu, sebaliknya turun dengan tenang kerana kekuatan mereka dan lawan sebenarnya seimbang.
“Jangan terlalu tertekan, jaga kesihatan dan paling penting jaga mental,” kata jurulatih kelahiran Indonesia itu.
Berdasarkan ranking, Zii Jia sepatutnya disenaraikan sebagai perseorangan pertama negara, berkemungkinan besar menentang pemain No. 47 dunia, Jeon Hyeok-jin.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula dijangka berdepan Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae, manakala cabaran perseorangan kedua digalas Ng Tze Yong.
Kebangkitan Tze Yong baru-baru ini sepatutnya mampu memberikan satu mata buat pasukan, tetapi Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mungkin berdepan tugasan sukar menentang Choi Sol-gyu-Kim Won-ho dalam beregu kedua.
Malaysia dijangka memenangi perlawanan ini berdasarkan kehebatan mereka dalam perseorangan, jadi jika ia turun kepada 2-2 maka terpulang kepada Cheam June Wei atau Leong Jun Hao untuk memenangi mata ketiga dan muncul wira.
Format Sukan Asia adalah serupa dengan Piala Thomas dengan tiga perseorangan dan dua beregu.
Pasukan yang menang dengan tiga mata jelas akan mara ke pusingan seterusnya.