PARIS: Jurulatih Perancis, Fabien Galthie memanggil barisan bintangnya untuk menghadapi Namibia dalam perlawanan ketiga Kumpulan A esok bagi memastikan tuan rumah mengekalkan rekod bersih pada saingan Ragbi Piala Dunia 2023.
Perancis memulakan kempen dengan mengejutkan juara tiga kali, New Zealand 27-13, namun barisan simpanan yang diturunkan ketika bertemu Uruguay beraksi hambar biarpun melakar kemenangan 27-12.
Beberapa perubahan bakal dilakukan dalam senarai 15 pemain yang akan diturunkan antaranya kepulangan semula Cyril Baille, Francois Cros dan Anthony Jelonch yang sebelum ini mengalami kecederaan, selain sayap kiri, Louis Bielle-Biarrey yang beraksi buat kali kedua.
Galthie menegaskan adalah penting untuk dia melakukan beberapa perubahan mengikut keadaan semasa pasukan bagi memastikan kejayaan Perancis.
“Kami menyusun barisan pemain mengikut mingguan, tidak ada perancangan masa panjang buat masa ini.
“Kita boleh terus berbincang mengenai (Charles) Darwin. Teori menjelaskan hanya yang kuat atau bijak sahaja akan kekal tetapi jangan lupa yang mampu untuk membuat perubahan serta menyesuaikan diri juga mampu untuk berjaya,” jelas Galthie.
Sementara itu di kem Namibia, jurulatihnya, Aliister Coetzee bercadang untuk memberi peluang kepada semua pemain merasai aksi Piala Dunia yang disifatkan sebagai kejohanan istimewa.
Ketika ini, Namibia menghuni tangga tercorot Kumpulan A apabila gagal mengutip sebarang mata.
Mereka tewas 8-52 kepada Itali dalam perlawanan pertama, dan seterusnya dibelasah 3-71 oleh New Zealand.
“Amat penting untuk saya memberi peluang kepada kesemua pemain beraksi dalam Piala Dunia ini.
“Pemikiran kami ketika ini adalah untuk persiapan menghadapi perlawanan terakhir peringkat kumpulan (menentang Uruguay) dan melihat apa yang para pemain mampu tawarkan untuk mendapat keputusan yang terbaik dalam perlawanan terakhir itu,” kata Coetzee. – AGENSI