KUALA NERUS: Tomislav Steinbruckner memuji benteng pertahanan Terengganu FC yang diperkuatkan oleh tonggak tempatan sebagai tunjang pasukannya ketika mengejutkan juara Australia, Central Coast Mariners 1-0 dalam aksi pembukaan Piala AFC kelmarin.
Katanya, persembahan hebat Shahrul Nizam Ros Hasni, Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad, Arif Fadzilah Abu Bakar dan penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin banyak mematahkan gerakan lawan yang turun selaku pasukan pilihan dalam Kumpulan G.
Pengendali dari Croatia itu juga menghambur pujian kepada barisan pemainnya yang berjaya menyerap tekanan menuju penghujung aksi sambil mengakui tuah turut menyebelahi Sang Penyu.
“Dengan menggunakan pemain tempatan di bahagian pertahanan, mereka membalas kepercayaan saya dengan persembahan terbaik termasuk Arif Fadzilah yang jarang diturunkan musim ini.
“Sejujurnya, tuah memihak TFC terutama babak pertama di mana pasukan lawan lebih teratur dan kami hanya bernasib baik perlawanan berakhir dengan kemenangan tipis 1-0.
“Tetapi selepas rehat, benteng pertahanan kami lebih berdisiplin mempertahankan kelebihan satu gol walaupun ‘dihujani’ hantaran dan percubaan berbahaya ke arah pintu gol,” katanya.
Dalam perlawanan itu, TFC membuka kempen Piala AFC dengan langkah kanan selepas pemain Central Coast Mariners, Nathan Paull, tertolak masuk bola ke dalam gawang sendiri di hujung babak pertama.
Jelas Steinbruckner, kemenangan penting itu memberi keyakinan buat skuad kendaliannya mengharungi peringkat kumpulan bertemu Bali United dari Indonesia dan Stallion Laguna (Filipina).
Namun katanya, masih terlalu awal untuk mencongak nasib Sang Penyu dalam baki lima perlawanan walaupun mengakui turut membawa misi membawa TFC lebih jauh dalam kejohanan itu.