PETALING JAYA: Jangan terlalu seronok dan memikirkan tentang kejuaraan, sebaliknya turun ke gelanggang dengan tenang.
Itu pendekatan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah apabila mendapat peluang sekali lagi untuk memburu kejuaraan pertama pada 2023 selepas mara ke final badminton Terbuka Hong Kong hari ini.
Pasangan No. 10 dunia itu menyingkirkan beregu adik-beradik Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 21-13, 21-18 untuk menempah pertemuan dengan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti dari Indonesia.
Ini kali kedua mereka mara diri ke final tahun ini selepas muncul naib juara Malaysia Masters, Mei lalu.
Kemenangan itu melebarkan rekod Pearly-Thinaah ke atas adik-beradik Aimsaard kepada 2-0.
Kali terakhir beregu wanita negara itu merangkul kejuaraan adalah memenangi Terbuka Perancis, Oktober tahun lalu selepas mengejutkan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun.
“Saya rasa perkara utama, kami mahu fokus kepada diri sendiri, sebab kami sudah lama tidak konsisten.
“Kami juga belum begitu gembira tapi hari ini (semalam) perlawanan yang baik. Kami akan tingkatkan momentum.
“Kami seronok bertemu semua lawan, kami hargai kualiti permainan yang mereka. Kami mahu nikmati setiap perlawanan.
“Sudah tentu semua pemain mahu gelaran, kami pun begitu tetapi kami tidak mahu terlalu seronok.
“Sekarang hanya mahu berehat dan bersedia,” kata Pearly.
Sementara itu, cabaran perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tamat di separuh akhir selepas ditewaskan pemain China, Zhang Yi Man, 11-21, 14-21.