PETALING JAYA: Pearly Tan-M. Thinaah menghampiri kejuaraan pertama mereka tahun ini apabila melangkah ke perlawanan akhir badminton Terbuka Hong Kong hari ini.
Dalam aksi separuh akhir di Coliseum Hong Kong, Kowloon, beregu wanita No. 10 dunia itu hanya memerlukan 36 minit untuk menumpaskan pasangan Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard, 21-13, 21-18.
Ini adalah kali kedua mereka melayakkan diri ke perlawanan akhir tahun tahun selepas muncul naib juara Malaysia Masters, Mei lalu.
Kemenangan itu juga melebarkan rekod kemenangan Pearly-Thinaah ke atas adik-beradik Aimsaard itu selepas menang 21-19, 21-17 pada pusingan pertama Terbuka Thailand 2020.
Pearly-Thinaah yang tumpas kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee dalam final Malaysia Masters kini akan menentang pemenang di antara pilihan ketujuh dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti atau beregu Denmark, Maiken Fruergaard-Sara Thygesen. dalam final esopk.
Kali terakhir beregu wanita utama negara itu merangkul kejuaraan adalah memenangi Terbuka Perancis, Oktober tahun lalu selepas mengejutkan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun, 21-19, 18-21, 21-15.
Sementara itu langkah bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei gagal diteruskan apabila tumpas 14-21, 11-21 kepada pemain China, Zhang Yiman dalam separuh akhir perseorangan wanita. – UTUSAN ONLINE