MANILA: ‘Superstar’ tinju Filipina, Manny Pacquiao menegaskan, dia kekal dengan pendirian untuk kembali ke gelanggang dan memburu pingat emas pertama Sukan Olimpik di Paris tahun depan.
Pacquiao yang pernah menjadi juara dunia dalam lapan kategori bermotivasi tinggi untuk menggenggam emas kerana sewaktu di peringkat amatur dia ditolak untuk mewakili negaranya di Olimpik.
“Saya menunggu detik itu (Olimpik) dan teruja. Sejak awal, saya datang ke Manila untuk menjadi sebahagian pasukan Filipina tetapi tidak dipilih, saya ditolak…kerana mereka kata saya tidak bagus.
“Hati dan hasrat saya adalah untuk menuntut emas Olimpik di Paris nanti,” katanya yang sudah menginjak usia 45 tahun apabila Olimpik Paris berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.
Bulan lalu, Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC), Abraham Tolentino mendedahkan, Pacquiao menghubunginya untuk bertanya tentang proses kelayakan.
Kata Tolentino, Pacquiao tidak boleh melayakkan diri ke Olimpik menerusi tiket Sukan Asia kerana temasya di Hangzhou itu hanya dibuka kepada petinju berusia 40 tahun ke bawah.
Itu bermakna, Pacquiao yang lebih dikenali sebagai PacMan perlu mencari jalan lain untuk memburu tiket. – AGENSI