PacMan mahu buat ‘comeback’ pada usia 44 tahun

PacMan mahu buat ‘comeback’ pada usia 44 tahun

Manny Pacquiao mahu menamatkan karier tinju dengan menghadiahkan pingat emas Sukan Olimpik buat Filipina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao mahu keluar daripada persaraan untuk memburu pingat emas Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Hasrat Pacquiao yang ter­kenal dengan gelaran PacMan untuk kembali ke gelanggang pada usia 44 tahun diumumkan ­Presiden Majlis Olimpik ­Filipina, Abraham Tolentino kelmarin selepas beliau dihubungi kem ­Pacquiao.

“Kem senator Pacquiao telah menghubungi kami menyatakan hasrat untuk kembali bertarung di Paris,” kata Tolentino dalam satu kenyataan.

Juara dunia lapan kali itu mengumumkan persaraan pada 2021 selepas beraksi dalam pertarungan terakhir menentang petinju Cuba, Yordenis Ugas.

Pacquiao berundur daripada arena tinju bagi memberikan tumpuan kepada karier politiknya di Filipina apabila dia dilantik menjadi senator.

Pacquiao yang berkhidmat sebagai senator dari 2016 hingga 2022 kemudian menamatkan pemilihan Presiden Filipina di tangga ketiga, tahun lalu.

MANNY Pacquiao ketika berkempen sebagai Presiden Filipina.

Cabaran terbesar Pacquiao kini adalah untuk memburu tiket ­Olimpik memandangkan dia sudah berusia 44 tahun dan tidak boleh bertanding dalam Sukan Asia di Hangzhou, China yang membuka tirai pada 23 September ini.

Sukan Asia yang berada dalam kalendar kelayakan ­Olimpik Paris hanya dibuka kepada atlet bawah 40 tahun.

Itu bermakna, Pacquiao tidak mempunyai pilihan kecuali mengharungi aksi kelayakan tahun depan.
Sebelum ini, tinju Sukan ­Olimpik hanya terbuka pada petinju amatur, namun peraturan itu diubah pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Tolentino berkata, jawatankuasa itu sedang mencari ­jalan bagaimana boleh membantu Pacquiao layak sebagai salah seorang daripada 124 ­petinju ke Paris.

Katanya, Pacquiao boleh bertarung dalam pertandi­ngan kelayakan yang akan diadakan pada suku pertama dan kedua 2024. Dia juga boleh meraih tiket menerusi peraturan Universality.

Universa­lity yang menawarkan lima tiket untuk wanita dan empat lelaki adalah wildcard (jemputan) yang diperkenalkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya