PETALING JAYA: Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengakui, misi skuad berbasikal trek untuk merangkul emas di Sukan Asia Hangzhou kelihatan sukar selepas ketiadaan Datuk Azizulhasni Awang.
Pemenang pingat gangsa acara keirin dalam Sukan Komanwel 2022 itu berkata, sebelum ini, dia sudah membuat perancangan dengan Azizulhasni untuk memastikan emas keirin menjadi milik Malaysia.
Bagaimanapun katanya, keputusan Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman menarik diri daripada Sukan Asia Hangzhou selepas mengalami kecederaan mengubah segalanya.
“Segala perancangan untuk untuk beraksi bersama Azizulhasni terjejas susulan ketiadaannya, namun saya bersedia menyahut cabaran untuk mengalas tugas yang ditinggalkan.
“Semua pelumba ada peluang, namun ia bergantung kepada siapa yang bijak guna strategi tepat pada waktunya dan saya harap mampu mara ke final keirin bersama Fadhil (Zonis).
“Semua mahukan emas, tiada siapa bertanding untuk dapat nombor dua atau tiga. Jika masuk final baru boleh fikir menang emas,” katanya yang meraih perak pecut berpasukan dalam temasya 2018 di Jakarta/Palembang.
Pelumba berusia 27 tahun itu juga mengakui, dia sebenarnya cuba memujuk Azizulhasni untuk tetap bertanding di Hangzhou, malangnya ia tidak berlaku.
“Saya berharap dia cepat pulih. Beberapa hari selepas kemalangan, kami turun berlatih. Walaupun dia boleh kayuh seperti biasa namun dia tak berdaya memberi tekanan. Saya memang cuba pujuk tetapi dia kata tak boleh sebab sakit.
“Saya sedih dan terkilan sebab kami ada perancangan (emas) di Hangzhou. Bagaimanapun, Azizulhasni sedih memandangkan edisi di Hangzhou sepatutnya menjadi Sukan Asia terakhir baginya namun, saya faham kesihatannya lagi penting,” katanya.
Tempat Azizulhasni, yang merupakan pemenang pingat emas acara pecut pada Sukan Asia 2018 akan diambil oleh Fadhil Zonis (keirin) dan Ridhuan Saharom (pecut individu).