PETALING JAYA: Skuad hoki negara tidak berdepan masalah untuk membelasah Thailand 9-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B, Sukan Asia Hangzhou di padang Gongshu Canal Sports Park, sebentar tadi.
Anak-anak buah Arul Selvaraj mempamerkan aksi bertenaga sejak wisel permulaan dibunyikan dan mereka meraih gol pertama pada minit ke lapan menerusi gol padang Azrai Aizad Abu Kamal.
Malaysia mencetak satu lagi gol padang pada minit ke-21 menerusi penyudah Firhan Ashari sebelum menutup suku kedua dengan gol padang ketiga hasil jaringan Nik Mohd Aiman Nik Rozemi.
Pada suku ketiga, Malaysia terus mempamerkan aksi terbaik dengan meledak empat gol masing-masing menerusi Nik Aiman, Azrai Aizad dan dua pukulan sudut penalti Muhammad Aminuddin Mohd Zain.
Dua gol terakhir Malaysian Tigers dihasilkan pada suku keempat menerusi Abdul Khaliq Hamirin dan Azmirul Azhar untuk Malaysia melengkapkan kemenangan bergaya 9-0 ke atas Thailand.
Skuad negara akan berdepan Oman dalam perlawanan kedua manakala Thailand menentang Korea Selatan pada Selasa ini.-UTUSAN ONLINE