KUALA LUMPUR: Malaysia buat julung kalinya bakal menjadi tuan rumah Kejuaraan Sukan Pemotoran Asia Pasifik (APMC) yang kali pertama diperkenalkan dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai venue pertandingan yang akan bermula pada 30 September hingga 1 Oktober ini.
Presiden Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, buat kali pertama di rantau Asia Pasifik, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah dan ia satu penghormatan kepada negara ini yang memiliki pengalaman luas bergelar penganjur dalam sukan pemotoran di pentas antarabangsa.
“Malaysia sememangnya terkenal sebagai satu negara yang sudah ada pengalaman untuk anjurkan pertandingan di pentas antarabangsa.
“SIC pula memang telah dibina khas untuk sukan pemotoran dan saya rasa litar itu sangat sesuai jadi tempat pertandingan-pertandingan seperti ini,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman Malaysia selaku tuan rumah APMC di sini, semalam.
Menurut beliau, Malaysia dipilih menjadi tuan rumah pertama selepas pembentangan dibuat mengapa negara ini layak diberi hak sebagai penganjur APMC.
Jelasnya, memandangkan ini adalah penganjuran kali pertama, jadi, Malaysia akan menetapkan standard untuk negara-negara yang bakal menjadi tuan rumah APMC pada tahun-tahun akan datang.
Sementara itu, pelumba empat roda negara yang dipilih menjadi pengurus kepada pasukan Malaysia, Jazeman Jaafar memberitahu, terdapat lima disiplin yang akan dipertandingkan iaitu go-kart, karting slalom, auto-gymkhana, rali dan e-sukan.
“Daripada lima disiplin itu, sebanyak 14 pertandingan akan diadakan yang membabitkan penyertaan 23 buah negara yang telahpun mengesahkan penyertaan masing-masing bagi merebut pingat emas ditawarkan,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai pemilihan pelumba berbakat yang akan mewakili Malaysia, Jazeman berkata, untuk go-kart, pelumba yang akan mengibarkan Jalur Gemilang telahpun dibuat, minggu lalu, manakala, untuk disiplin auto-gymkhana, pemilihan sedang berjalan.
Tambahnya, antara kriteria pemilihan pelumba negara, keutamaan diberi kepada juara kebangsaan untuk mereka berkembang di pentas antarabangsa.
“Saya berharap mereka akan jadikan APMC sebagai batu loncatan untuk mewakili Malaysia dan kita juga mahu peserta-peserta ini mampu kutip pingat buat negara,” kata Jazeman yang meletakkan sasaran kedudukan tiga terbaik buat pelumba-pelumba Malaysia. – UTUSAN ONLINE