Malaysia diangkat pasukan terbaik peringkat pertama LTdL 2023

Malaysia diangkat pasukan terbaik peringkat pertama LTdL 2023

Barisan pelumba berbasikal negara lakar sejarah menjadi pasukan terbaik keseluruhan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 hari ini. (FOTO:AMIR KHALID/UTUSAN MALAYSIA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Skuad berbasikal negara laung amaran awal bahawa mereka bukan sekadar pelengkap pasukan untuk saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 apabila mencipta sejarah muncul sebagai pasukan terbaik pada peringkat pertama saingan hari ini.

Perlumbaan peringkat pertama LTdL 2023 hari ini bermula dari Kerteh ke Kuala Terengganu dengan jarak 187.4 kilometer (km), dengan skuad negara menjadi satu-satunya pasukan kebangsaan yang mengambil bahagian.

Menurut pengendali kebangsaan, Mohd Yusoff Nasir, ini merupakan kali pertama skuad negara meraih gelaran tersebut sejak LTdL dinaikkan tarafnya kepada Pro Series oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Selain muncul pasukan terbaik keseluruhan, pasukan negara juga turut dinobatkan sebagai pasukan Asia Terbaik peringkat pertama.

“Sebenarnya saya tidak terkejut dengan pencapaian ini kerana kami sudah berlatih bersungguh-sungguh. Ia adalah satu permulaan yang amat positif kerana kalau dilihat pada senarai keseluruhan pasukan, kami berjaya mengatasi pasukan hebat seperti Astana Qazaqstan dan (Green Project) Bardiani CSF-Faizane.

“Saya rasa kejayaan ini juga adalah hadiah harijadi yang bermakna buat saya yang kebetulan jatuh pada hari ini,” jelas Yusoff yang kini menginjak ke usia 45 tahun.

Pelumba skuad kebangsaan yang diketuai Zawawi Azman hampir lagi menamatkan kemarau 27 tahun untuk menaiki podium di negeri Terengganu, namun percubaan pakar pecut, Izzat Hilmi Abdul Halil tidak menjadi apabila akur menghabiskan saingan di kedudukan keempat keseluruhan.

Juara milik pelumba Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn yang turut menyambar jersi hijau, pendahulu keseluruhan dan jersi jingga, Raja Pecut, sementara Sasha Weemaes (Human Powered Health) di tempat kedua, manakala Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan) di tangga ketiga.

“Lima kilometer yang terakhir saya bersama dengan Harrif, dan memang saya mahu ke hadapan. Menuju ke penghujung saya hampir lagi mengalami pelanggaran, tetapi saya berjaya mengelak. Kalau nak diikutkan saya berada dalam kedudukan yang terbaik, namun saya kehabisan tenaga dan perlahan-lahan saya semakin ketinggalan.

“Apapun saya tetap tidak akan berputus asa dan akan cuba mencabar kedudukan podium untuk baki perlumbaan selepas ini,” kata Izzat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya