PETALING JAYA: Malaysia akan turun dengan strategi terbaik untuk memerangkap Thailand dalam perlawanan akhir acara berpasukan sepak takraw di Sukan Asia Hangzhou esok.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharom berkata, beliau tidak mahu terburu-buru dan akan memutuskan susunan regu untuk perlawanan akhir hari ini iaitu selepas latihan terakhir.
Katanya, beliau mempunyai strategi dan mahu pemain terbaik sahaja yang beraksi di pentas final dalam misi untuk mengejutkan Thailand yang juga juara bertahan bagi acara berkenaan.
“Kalau ikutkan prestasi di separuh akhir, ada elemen yang kena diperbaiki untuk aksi final menentang Thailand. Esok kita ada peluang untuk berlatih sebelum final dan kita buat penilain.
“Kita mahu tengok tahap kesihatan dan kecergasan kerana kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku di saat akhir. Apa pun, kita akan pastikan gandingan terbaik berdepan Thailand.
“Kita tiada tekanan kerana turun sebagai bukan pilihan tetapi, itu bukan alasan untuk tidak berikan yang terbaik. Kita akan bermain sehabis baik untuk lakar kejutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu semalam, Malaysia mara ke final acara berpasukan selepas menundukkan Laos 2-0 di separuh akhir, sekali gus menempah pertemuan dengan Thailand yang menumpaskan Korea Selatan.
Mengulas tentang ketiadaan Khairul Zaman di peringkat separuh akhir, Ahmad Jais berkata, perejam KL Thunders itu direhatkan bagi memberi peluang kepada Azlan Alias mencari keserasian dengan Syahir Rosdi.
“Kita mahu tengok rentak Azlan dengan Syahir, dalam aksi kumpulan tempoh hari kita keluarkan Khairul Zaman dan masukkan Azlan, nampak menjadi dan sebab itu kita kekalkan. Untuk final, kita akan tengok semula prestasi mereka,” katanya.
Ditanya sama ada barisan regu semasa Sukan SEA Kemboja yang hampir menjegutkan Thailand akan sekali lagi diberikan kepercayaan, Ahmad Jais berkata, saingan Sukan SEA dan Sukan Asia adalah pentas berbeza.
Jawapan itu seolah-olah memberi bayangan bahawa regu yang cemerlang ketika ini diketuai oleh Farhan Adam sebagai pengumpan, Noraizat Nordin (perejam) dan Haziq Hairul Nizam akan diturunkan selaku regu utama.
Trio negara itu ketika ini beraksi cemerlang apabila menyumbang mata kemenangan ketika menentang Indonesia selain diturunkan selaku regu utama ketika menentang Korea Selatan dan Laos.