PETALING JAYA: Malaysia bermula langkah kanan dalam kelayakan Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) apabila menumpaskan Bangladesh 2-0 pada saingan Kumpulan H di Stadium Chonburi, Thailand sebentar tadi.
Anak-anak buah E.Elavarasan bagaimanapun dipaksa bermandi peluh sebelum mencatat kemenangan hasil jaringan lewat Aliff Izwan Yuslan dan Fergus Tierney, sekali gus mencerahkan misi layak ke pusingan akhir di Qatar tahun depan.
Skuad muda negara banyak menguasai permainan pada babak pertama dengan memperolehi beberapa peluang dan berjaya menjaringkan gol menerusi Arif Ikmalrizal tetapi dibatalkan pengadil kerana dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Bangladesh juga mempamerkan aksi memberangsangkan terutama ketika bertahan dan berjaya menggagalkan gerakan barisan serangan negara untuk mencipta jaringan dan kedudukan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Sedar Malaysia perlu mencatatkan kemenangan dalam pertembungan itu, Elavarasan melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua untuk mencari gol kemenangan namun episod separuh masa pertama masih kekal dengan gerakan bahagian buntuk mencari gol.
Gol yang dicari-cari akhirnya berjaya diperolehi pada minit ke-81 apabila Aliff Izwan bijak menggunakan ruang yang ada di hadapannya untuk meledak rembatan dari luar kotak penalti sekaligus menerjah gawang Bangladesh untuk jaringan pendahuluan buat Malaysia.
Pada minit keempat masa tambahan, Fergus Tierney menambah gol kedua buat Malaysia apabila tenang merembat masuk untuk memberikan kelebihan yang lebih selesa sekali gus tiga mata penuh dan langkah yang lebih selesa dalam pusingan kelayakan ini.
Malaysia bakal bertemu Filipina dalam perlawanan kedua pada Sabtu ini dan sekali lagi tiga mata dituntut untuk mencerahkan peluang skuad Harimau Muda layak secara merit ke Piala Asia AFC B-23 tahun hadapan. – UTUSAN ONLINE