PETALING JAYA: Cerita kebangkitan Harimau Malaya mengikat Syria 2-2 semalam pastinya menjadi perbualan penyokong bola sepak tempatan yang teruja dengan aksi anak-anak buah Kim Pan Gon.
Bagaimanapun, di sebalik kemenangan itu ada isu yang yang turut menjadi topik hangat yang diperkatakan iaitu venue aksi antara kedua-dua pasukan yang berlangsung di Stadium East-Town Football Park, di Chengdu, China.
Boleh dikatakan ramai yang terkejut dengan aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 berlangsung di stadium sedemikian yang saling tidak tumpah atau setaraf dengan perlawanan antara pasukan kelab atau ‘kampung’.
Malah dapat dilihat sepanjang siaran langsung di kaca televisyen, papan elektronik keputusan diletakkan di luar pagar seolah-olah menggambarkan ia baru dipasang oleh pihak tuan rumah iaitu Persatuan Bolasepak China (CFA).
Selain itu, semasa perlawanan berlangsung penonton dirumah juga dipaparkan dengan suasana taman dimana ada kenderaan lalu lalang serta beberapa penduduk setempat berjalan kaki di kawasan sekitar.
Malah, ambulans juga dilihat diletakkan di luar pagar yang boleh mengundang masalah jika terdapat pemain mengalami kecederaan serius yang memerlukan bantuan sesegera mungkin, dibimbangi lewat untuk memberi bantuan.
Sementara itu, di media sosial ada juga dalam kalangan peminat bertanya sama ada stadium berkenaan menepati standart Fifa atau mengikut segala garis panduan pelaksanaan perlawanan antarabangsa Tier 1.
“Macam perlawanan liga kelab bawahan, adakah stadium menepati standard antarabangsa. Ingatkan salah tengok siaran langsung, rupanya betul Harimau Malaya tengah beraksi,” kata Helmy Rezuan dalam satu ruangan komen di laman Facebook.
“Beraksi di padang sewa ke? lepas game collect duit nak bayar reff sekali,” kata Hisyam Ismail.
Biarpun begitu, ada juga yang beranggapan semua itu hanya ‘perang psikologi’ China terhadap Harimau Malaya yang akan ditentang pada Sabtu ini, di mana aksi terbabit bakal dilangsungkan di venue lebih canggih dan moden iaitu di Stadium Phoenix Hill, di Chengdu nanti.
Difahamkan, Syria juga akan turun menentang China pada Selasa depan di Stadium Phoenix Hill yang mampu memuatkan hampir 60,000 penyokong dalam satu-satu perlawanan.-UTUSAN ONLINE