Luqman kena lebih bagus daripada pemain 'tempatan'

Luqman kena lebih bagus daripada pemain ‘tempatan’

LUQMAN HAKIM SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengalaman Luqman Hakim Shamsudin ­beraksi di Eropah sejak tiga tahun lalu sepatutnya menjadikan dia lebih bagus berbanding pemain tempatan lain apabila menggalas cabaran negara dalam kelayakan Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) di Thailand minggu depan.

Selepas kali terakhir me­nyarung jersi Malaysia pada Sukan SEA 2021, khidmat Luqman kembali ditagih, malah pe­nyerang berusia 21 tahun itu diberi jaminan tempat oleh pengendali skuad Malaysia B-23, E. Elavarasan tanpa perlu melalui proses saringan.

Beraksi secara pinjaman bersama kelab Iceland, Njardvik FC, perkembangan semasa Luqman bagaimanapun agak meresahkan penyokong kerana dia bergelut untuk mendapatkan minit permainan bersama kelabnya.

Luqman sebelum itu turut bergelut untuk mendapat tempat dalam skuad utama KV Kortrijk sejak tiba di Belgium pada 2020, sekali gus mendorongnya untuk berhijrah ke Iceland bagi mendapatkan le­bih banyak minit permainan.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew, beliau menyokong keputusan Elavarasan membawa masuk Luqman dalam skuad ke Chonburi, Thailand kerana pengalaman pemain itu di Eropah pasti akan membantu skuad negara.

Begitupun dalam masa sama, Luqman harus membuktikan dia benar-benar mampu memberi impak kerana pemilihannya dibuatkan berdasarkan sumbangan yang ditunjukkan sebelum ini biarpun tidak banyak yang berjaya dibuktikan sejak kebelakangan ini.

“Bagus juga dia dipanggil sebab lama-lama nanti orang akan lupa yang kita ada Luqman Hakim.

“Jadi keputusan meletakkan Luqman dalam skuad tidak salah sebab saya yakin yang Elavarasan mahu bertanggungjawab dengan apa pun hasilnya nanti.

“Cuma daripada segi kualiti permainan, saya harap dia tidak ­‘underperform’ daripada pemain lain yang beraksi dalam liga tempatan.

“Prestasi Luqman sepatutnya lebih baik daripada yang lain sebab dia didedahkan ­dengan intensiti perlawanan luar negara.

“Kalau prestasi dia lebih teruk, jadi buat apa bermain di luar. Dia sepatutnya ­menunjukkan kelainan kepada peminat dan rakan-rakan sepasukan.

SKUAD bawah 23 tahun negara yang menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

“Kalau orang nak kata dia kurang layak sebab kurang minit permainan di Iceland, kita kena faham persaingan di sana kompetitif, bukan mudah untuk dia dapat tempat.

“Bagaimanapun dia ada pengalaman beraksi di Eropah, itu membezakan Luqman ­dengan pemain lain.

“Kalau kita hanya mendasarkan kepada kurang minit permainan sebagai petunjuk, bagaimana pula kalau nanti dia yang paling banyak menghasilkan gol?

“Pada masa itu mungkin kritikan akan berubah, ‘kenapa tak panggil dia balik dari dulu’,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Untuk rekod, Luqman telah mengumpul 317 minit permainan dengan sumbangan dua jaringan bersama Njardvik, namun dia hanya sempat beraksi seminit pada bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya