LTdL dijangka kembali ke awal tahun pada 2025

LTdL dijangka kembali ke awal tahun pada 2025

PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi mungkin kembali ke Februari atau Mac bermula 2025. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) dijangka kembali ke tarikh asal iaitu pada bulan Februari atau Mac bermula 2025 dalam usaha menarik lebih banyak penyertaan daripada pasukan-pasukan besar.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, Februari dan Mac adalah masa terbaik bagi menganjurkan perlumbaan kerana masih berada di awal kalender Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selain faktor cuaca yang lebih baik.

Bagaimanapun katanya, edisi ke-28 pada tahun hadapan, penganjuran akan kekal pada bulan September atau Oktober kerana masa yang sudah suntuk selain perlumbaan perlu didaftarkan pada bulan Jun.

“Setakat ini, memang kita boleh katakan terpaksa berada di kalender bulan September atau Oktober. Jika nak alih ke Februari atau Mac, kita perlu daftar pada bulan Jun, jadi tahun depan mungkin tidak sempat.

“Kalau ada cadangan untuk tukar ke tarikh lama (Februari atau Mac), boleh buat pada penganjuran 2025 dan ke atas. Kita juga akui, (tarikh penganjuran) memang akan ada impak untuk tarik pasukan-pasukan besar.

“Justeru, memang lebih baik dianjur lebih awal, terutamanya jika kita ambil kira faktor cuaca. Bulan Februari atau Mac itu cuaca agak stabil jika dibandingkan dengan September dan Oktober,” kata Emir.

EMIR ABDUL JALAL

Beliau turut menjelaskan, sekiranya LTdL kembali dianjurkan awal tahun seperti edisi-edisi terdahulu, ia mampu menarik penyertaan pasukan-pasukan yang mahu melakukan persiapan bagi menghadapi perlumbaan Jelajah Dunia.

“Kalau kita anjur awal, pasukan-pasukan boleh dikatakan masih ‘clean’ dan mungkin jadikan LTdL sebagai medan untuk menguji pelumba-pelumba mereka bagi menghadapi beberapa perlumbaan awal Jelajah Dunia.

“Jadi, penganjuran di akhir (tahun) ini, ada pasukan-pasukan yang sudah terjamin kedudukan, justeru tidak jadi sebarang isu jika mereka nak datang atau tidak ke perlumbaan LTdL,” ujarnya.

Sementara itu, Emir berkata, hadiah wang tunai keseluruhan bagi LTdL 2023 kekal dengan RM830,000 selain memberitahu, setiap pasukan masih ada masa untuk membuat pertukaran 72 jam sebelum pukul 5 petang 22 September ini.

“Sekarang sebanyak sembilan pasukan telah bertindak menukar senarai nama pelumba menjelang saingan LTdL 2023 dan pertukaran itu dibuat selepas pasukan mengetahui laluan yang akan digunakan.

“Ini sebenarnya perkara biasa terutama bagi pasukan besar dalam WorldTeam dan ProTeam kerana mereka akan menilai tahap kekuatan pelumba sendiri, melihat bentuk profil laluan serta membandingkan dengan kekuatan pelumba pasukan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya