Lee Zii Jia perlu bangkit untuk buktikan layak kekal dalam RTG

Lee Zii Jia perlu bangkit untuk buktikan layak kekal dalam RTG

LEE Zii Jia tidak menyertai program RTG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selain mahu melayakkan diri ke Olimpik ­Paris 2024, Lee Zii Jia juga perlu membuktikan mengapa dia ­layak untuk kekal dalam program Road to Gold (RTG) selepas tersingkir seawal pusingan pembukaan badminton Terbuka China semalam.

Selepas mencatat keputusan positif dalam dua kejohanan terdahulu, pemain No. 14 dunia itu kembali bergelut dengan ­prestasi apabila kalah 24-26, 21-12, 11-12 kepada muda Jepun, Kodai Naraoka.

Pernah menghuni ranking kedua dunia dan merangkul kejuaraan Asia tahun lalu, Zii Jia kini bergelut untuk mengembalikan prestasi terbaiknya.

Sejurus tamat aksi semalam, bekas juara All England itu me­ngakui, dia bukan tandingan pemain No. 3 dunia, Naraoka, 22, yang semakin me­nunjukkan kestabilan dalam permainan, ter­utama sejak bergelar naib juara dunia bulan lalu.

“Saya rasa saya tiada apa untuk diperkatakan hari ini (semalam). Ini sesuatu yang saya perlu terima dan cuba lagi.

“Kodai, seperti yang kita tahu, sangat konsisten. Dia pemain rali yang bagus dan bermain secara bertahan. Dia juga kurang melakukan kesilapan sendiri dan sangat stabil.

“Saya berjaya memenangi perlawanan kedua tetapi dia bermain dengan amat baik di permulaan set ketiga. Itu perbezaan besar.

“Saya rasa tidak ada apa-apa yang positif untuk saya hari ini, kecuali perlu mencuba lagi,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Zii Jia, 25, perlu bangkit ­dengan keputusan lebih baik pada Terbuka Hong Kong ming­gu depan, diikuti Sukan Asia yang membuka tirai pada 23 September kerana kedua-dua saingan menjadi penilaian pen­ting apabila program RTG dinilai bulan depan.

Susulan penyingkiran Zii Jia, harapan Malaysia dalam perseorangan lelaki terletak di bahu pemain No. 22 dunia, Ng Tze Yong yang menentang Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia pada pusingan kedua hari ini.

Sementara itu, nasib berbeza buat beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila me­nundukkan pasangan India, Rohan Kapoor-Sikki Reddy 21-16, 21-15.

“Hari ini berjumpa pasangan India, mereka belum sesuaikan diri dengan gelanggang sebab ada masalah angin di sini. Mereka juga ada melakukan kesilapan yang memberi mata kepada lawan.

“Esok (hari ini), jumpa Kim Wonho-Jeong Na Eun, rekod pertemuan 1-1. Penting untuk diberi perhatian, ­pasangan Korea memiliki pertahanan yang mantap,” kata jurulatih beregu negara, Nova Widianto kepada Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya