PETALING JAYA: Kuartet 4×100 meter (m) negara akan diuji dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Indonesia minggu depan sebelum terbang ke China untuk menyertai Sukan Asia 2022 di Hangzhou.
Kejohanan itu akan menjadi persiapan terakhir dan medan buat jurulatih pecut kebangsaan, Mohd. Poad Md. Kassim untuk memilih empat pelari untuk membentuk kuartet terbaik bagi beraksi di Sukan Asia.
Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan berkata, skuad pecut negara ketika ini dalam persiapan terbaik untuk ke Sukan Asia namun, senarai empat pelari masih belum dimuktamadkan oleh jurulatih.
“Kita ada enam pelari, dalam keenam-enam (pelari) memang kita tak boleh jangka siapa yang akan lari untuk Sukan Asia sebab ‘timing’ semua agak dekat (dalam lingkungan) 10.3 atau 10.4 saat.
“Kita tak tahu apa yang akan terjadi untuk Sukan Asia, jadi, sebelum Sukan Asia kita akan ada kejohanan untuk acara 4×100m terlebih dahulu, kita akan tengok daripada situlah, siapa yang akan berlari,” katanya.
Ketika ini, Malaysia mempunyai enam pelari yang boleh membentuk kuartet terbaik iaitu Muhammad Azeem Fahmi, Muhammad Haiqal Hanafi, Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa, Russel Alexander Nasir Taib dan Hafiz sendiri.
Bagaimanapun, Hafiz yang mendapat julukan The Speedy Jantan memaklumkan dia mungkin menjadi pilihan untuk diletakkan sebagai pelari pertama manakala Azeem selaku pelari terakhir dan hanya pelari ketiga dan keempat belum dimuktamadkan.
“Sasaran kuartet 4x100m di Sukan Asia adalah mencipta rekod baharu atau memperbaiki catatan masa yang dilakar ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Asia 2023 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada Julai lalu,” katanya.
Dalam kejohanan itu, kuartet 4x100m yang dibarisi Azeem, Hafiz, Jonathan dan Mohammad Thaqif Hisham menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan 39.17s dan gagal memperbaharui rekod kebangsaan 39.09s yang dilakukan pada Sukan SEA Hanoi.