BERLIN: Jurgen Klopp ‘tidak tersedia’ mengisi jawatan kosong Ketua Jurulatih Jerman, tegas ejennya semalam.
Kontrak Klopp di Liverpool hanya akan tamat pada Jun 2026, dan sehingga itu dia mahu kekal di Anfield.
Kekalahan 1-4 kepada Jepun dalam aksi persahabatan, Ahad lalu menyebabkan jurulatih mereka, Hansi Flick dipecat, iaitu pengurus pertama disingkirkan dalam sejarah bola sepak Jerman.
“Jurgen mempunyai kontrak jangka panjang dengan Liverpool dan tidak bersedia memegang jawatan jurulatih kebangsaan,” kata ejennya, Marc Kosicke kepada akhbar Jerman, Sportschau.
Flick mula berkhidmat pada Ogos 2021 menggantikan Joachim Low yang membimbing Jerman meraih 12 kemenangan dalam 25 perlawanan.
Bekas pengurus, Rudi Voller yang pernah mengendali Jerman dari 2000 hingga 2004 dinamakan sebagai bos sementara dan berjaya mencetak kemenangan 2-1 dalam perlawanan persahabatan menentang Perancis kelmarin.
Jerman, juara Piala Dunia 2014 hanya mengharungi aksi persahabatan kerana mereka menjadi tuan rumah Euro 2024 dan layak secara automatik.
Mengulas mengenai pemecatan Flick, Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman, Bernd Neuendorf berkata, Jawatankuasa bersetuju skuad kebangsaan Jerman memerlukan dorongan baru selepas keputusan yang mengecewakan baru-baru ini.
“Melangkah ke Kejohanan Eropah musim panas akan datang, kami memerlukan keyakinan.
“Ini keputusan paling sukar saya terpaksa buat kerana saya amat menghormati Hansi Flick,” katanya. – AGENSI