KUALA LUMPUR: Jaringan Romel Morales menerusi sepakan penalti membolehkan Kuala Lumpur City (Kl City) FC membawa bekalan satu gol ke Stadium Darul Makmur untuk perlawanan timbal balik suku akhir Piala Malaysia pada minggu hadapan.
Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras sebentar tadi, KL City menang tipis 1-0 ke atas Sri Pahang, sekali gus menyaksikan peluang masih terbuka kepada kedua-dua pasukan untuk merebut slot ke separuh akhir Piala Malaysia.
Permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan itu dan anak-anak buah Fandi Ahmad berpeluang berada dihadapan seawal minit keenam namun, percubaan Kpah Sherman diselamatkan oleh Kevin Ray Mendoza.
KL City juga berpeluang untuk mengegarkan jaring pelawat namun, Izham Tarmizi Roslan cemerlang menafikan dua percubaan berturut-turut pada minit ke-14 menerusi tandukan Paulo Josue dan rembatan susulan Tchetche Kipre.
Separuh masa pertama berakhir 0-0 dan pada babak kedua, aksi kedua-dua pasukan bertambah rancak dengan saling berbalas serangan namun gagal menyempurnakan beberapa peluang terbaik.
KL City mendapat peluang keemasan menerusi sepakan percuma pada minit ke-54, namun hantaran lambung Josue ke dalam kotak penalti gagal dibaca dengan baik oleh mana-mana pemain tuan rumah.
Gol yang dicari-cari skuad Ibu Kota akhirnya menjelma pada minit ke-74 selepas Morales menyempurnakan sepakan penalti selepas Josue dijatuhkan pemain pertahanan Sri Pahang, Syazwan Andik Ishak.
Pada 10 minit terakhir, KL City terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Kenny Pallraj dilayangkan kad kuning kedua sekali gus menyaksikan dia diperintahkan keluar padang.
Bagaimanapun, kesempatan itu gagal digunakan sebaik mungkin oleh Sri Pahang dan keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Di Separuh akhir, KL City atau Sri Pahang akan menentang pemenang antara Terengganu FC dan Selangor FC dengan skuad Sang Penyu kini mendahului 2-0 secara agregat.-UTUSAN ONLINE