Kejayaan takluk Genting Highlands buat mendiang datuk - Carr

Kejayaan takluk Genting Highlands buat mendiang datuk – Carr

AKSI Simon Carr ketika mendaki ke puncak Genting Highlands pada perlumbaan peringkat kelima dari dari Slim River ke Genting Highlands, Pahang sejauh 126.4 kilometer hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENTING HIGHLANDS: Pelumba EF Education-Easypost, Simon Carr menepati ramalan untuk muncul juara peringkat kelima perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dengan menawan puncak Genting Highlands hari ini.

Terdahulu, Carr bersama-sama 120 orang pelumba memulakan kayuhan dari Slim River untuk mengharungi laluan sejauh 126.4 kilometer (km), merentasi dua zon pecut serta tiga zon dakian.

Zon pecutan pertama di km Tanjung Malim menjadi milik Ryan Tugawin (7 Eleven Cliqq – Air21) dan seterusnya di zon pecutan kedua di km 85.1 Gombak diungguli Manuele Tarrozi (Green Project Bardian CSF-Faizane).

Simon Pellaud (Tudor Pro Cycling) yang juga pemegang jersi bintik merah, Raja Bukit terlalu sukar untuk ditandingi apabila menguasai dua zon dakian iaitu di km 63.7 Pintasan Rawang dan km 107.5 Bentong.

Zon dakian ketiga di puncak Genting Highlands yang dikelaskan sebagai Hors Categorie menjadi cabaran terulung untuk kesemua pelumba, namun Carr berjaya meningkatkan kayuhannya untuk meninggalkan kelompok pendahulu pada baki dua kilometer terakhir perlumbaan untuk melintasi garisan penamat sebagai juara peringkat kelima hari ini dengan catatan masa 3 jam 24 minit 6 saat (s), sebelum disusuli dengan rakan sepasukannya, Jefferson Alexander Cepeda (0:39s).

SEBAHAGIAN penonton yang menyaksikan perlumbaan peringkat kelima LTdL 2023. – UTUSAN/AMIR KHALID

Tempat ketiga diraih pelumba Sepanyol, Pablo Castrillo yang mewakili pasukan Equipo Kern Pharma selepas ketinggalan 0:48s daripada Carr.

Lebih manis, Carr turut merampas jersi hijau, pendahulu keseluruhan dan dilihat berpeluang cerah untuk mengekalkan kedudukan itu kerana memiliki kelebihan 0.49s berbanding pelumba lain.

“Pastinya ini merupakan satu pendakian yang amat sukar tetapi kami sepasukan berjaya melakukan tugas dengan cemerlang dan saya amat gembira kerana dapat menjuarainya.

“Keadaan menjadi sukar apabila kami mula menaikkan tempo kayuhan sejak dari awal pendakian ke atas Genting Highlands.

“Bagi saya, kemenangan ini amat bermakna bukan sahaja untuk saya tetapi saya bersemangat untuk memenangi perlumbaan ini untuk mendiang datuk saya (Tony Carr) yang baru sahaja meninggal dunia Isnin lalu. Dia merupakan peminat saya paling besar dan dia mahukan saya memenangi perlumbaan ini,” jelas Carr.

Pelumba kebangsaan, Mohd. Shaiful Adlan Shukri menjadi pelumba terbaik Malaysia untuk peringkat perlumbaan ini apabila menamatkan saingan di kedudukan ke 33. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya