PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperhalusi cadangan untuk memberikan imbuhan kepada dua jaguh boling padang negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Nawawi yang berjaya muncul juara dunia di Kejohanan Dunia Boling Padang yang berlangsung di Gold Coast, Australia, semalam.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan insentif berkenaan adalah sebagai menghargai usaha kedua atlet ini mengharumkan nama negara.
Ini merupakan kejayaan yang bersejarah apabila untuk skuad boling padang negara apabila mereka berjaya menamatkan penantian 15 tahun negara untuk meraih mahkota kejuaraan di pentas tertinggi dunia selepas Safuan Said merangkulnya menerusi acara perseorangan lelaki pada edisi 2008 di Christchurch, New Zealand.
“Kita kena bincang dengan MSN kerana hasrat untuk atlet-atlet ini yang mempamerkan aksi cemerlang sudah tentu ada insentif untuk menghargai pengorbanan mereka.
“Pada masa sama, kita juga akan lihat sokongan boleh diberikan kepada mereka supaya terus konsisten dan maju lagi,” jelas Hannah ketika ditemui pada Majlis Perlawanan Persahabatan Malaysia dan Korea Selatan Untuk Meraikan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Melalui Sukan di Bukit Kiara, hari ini.