LILLE, Perancis: Selepas sembilan bulan tersisih akibat kecederaan, Anthony Jelonch teruja kerana tugasan pertamanya bersama skuad Perancis adalah menjadi ketua pasukan dalam penampilan sulung pada Ragbi Piala Dunia esok.
Jelonch pulih lebih cepat daripada yang dijangkakan sejak mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL), Februari lalu, dan dia bakal mengetuai tuan rumah berdepan Uruguay di Lille.
“Kembali dalam perlawanan Piala Dunia sebagai kapten adalah kebanggaan terbesar buat saya.
“Saya akan melakukan segala yang termampu untuk memimpin rakan-rakan sepasukan memburu kemenangan,” kata pemain sayap berusia 27 tahun itu.
Perancis melakukan 12 rombakan pemain ketika menumpaskan juara tiga kali, New Zealand 27-13 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Paris, Jumaat lalu.
Hanya Cameron Woki, Yoram Moefana dan Gabin Villiere dikekalkan dalam perlawanan pertama yang amat memberangsangkan.
Jelonch, pemain sayap pilihan pertama Perancis mengalami kecederaan serius ketika beraksi dalam kejohanan Enam Negara di tempat sendiri menentang Scotland pada Februari. Dia menjalani pembedahan lutut lapan hari kemudian.
“Saya masih meragui diri sendiri ketika baru pulih tetapi dalam tempoh enam bulan terakhir ini, saya sentiasa memikirkan tentang Piala Dunia.
“Saya bekerja keras sepanjang enam bulan tersebut. (Jurulatih) Fabien (Galthie) berkata, kepada saya, ‘Anda pilih perlawanan yang anda mahu mainkan,” kata Jelonch.
Sementara itu, Uruguay turut mengalu-alukan kepulangan scrumhalf, Santiago Arata, bintang yang membantu mereka melakar kemenangan ke atas Fiji dalam Piala Dunia 2019. – AGENSI