JDT juara Liga Super kali ke-10 berturut-turut

JDT juara Liga Super kali ke-10 berturut-turut

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva melakukan sepakan akrobatik ketika menentang PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Biarpun Liga Super masih berbaki empat perlawanan, Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah bermain ‘bunga api’ lebih awal dengan merangkul kejuaraan buat kali ke-10 berturut-turut.

Kemenangan 4-0 ke atas PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi membolehkan Harimau Selatan mengutip 64 mata daripada 22 perlawanan, 15 mata mengatasi pasukan tangga kedua, Selangor.

Itu bermakna, JDT tidak boleh digugat walau apa pun yang berlaku dalam baki empat perlawanan mereka.

JDT yang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan setakat ini tidak mampu digugat mana-mana pasukan sejak muncul juara pada 2014.

Anak-anak buah Esteban Solari yang memenangi empat trofi musim lalu kini sudah memiliki dua kejuaraan tahun ini selepas mempertahankan gelaran Piala FA

JDT juga masih di landasan untuk memenangi Piala Malaysia dengan melayakkan diri ke separuh akhir, selain sedang bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia.

Penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva membuka jaringan pada minit ke-35, namun dibatalkan pengadil kerana Mathew Davies yang membuat hantaran itu terlebih dahulu dalam posisi ofsaid.

Benteng PDRM akhirnya roboh pada minit ke-37 selepas Bergson bijak melepasi kawalan dua pertahanan lawan dan melepaskan rembatan ke penjuru kiri gol menewaskan Ramdhan Ab. Hamid.

Jaringan tersebut membuatkan benteng  PDRM hilang tumpuan, dan JDT mengambil kesempatan itu untuk membuat serangan dari sayap kanan menerusi larian Davies sebelum menghantar bola kepada Juan Muniz yang terus membuat libasan bagi meledak gol kedua pada minit ke-40.

Bersambung babak kedua, JDT tidak mengendurkan serangan dan melancarkan serangan menerusi gerakan berbahaya ke kubu lawan.

Tindakan itu membuahkan hasil apabila  pertahanan lawan melakukan kesilapan setelah Izaaq Izhan Yuswardi menjatuhkan Arif Aiman Hanapi dalam kotak penalti.

Pemain sayap yang diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan sepakan penalti itu tidak berdepan kesulitan menyudahkan peluang terhidang dengan memperdayakan Ramdhan pada minit ke-52.

Fernando Forestieri yang dimasukkan pada babak kedua tidak menunggu lama untuk meletakkan nama dalam senarai penjaring apabila bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum mudah menewaskan Ramdhan bagi meledak gol pada minit ke-56.

Solari membuat pertukaran dengan memasukkan pemain senior JDT, Aidil Zafuan Abd. Radzak bagi membolehkan pemain bek pertahanan itu membuat penampilan pertamanya pada musim ini.

Aidil Zafuan hampir memusnahkan harapan JDT untuk mendapatkan clean sheet setelah Nabil Ahmad Latpi merampas bola di kaki bek tengah itu namun Feroz Baharudin bingkas mengejar penyerang lawan dan membuat terjahan sebelum dia membuat rembatan.

Walaupun sudah selesa di hadapan, Harimau Selatan terus menggandakan asakan namun tiada pertambahan gol dapat dijelmakan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya