Jackson ungguli peringkat ketiga, Aiman rampas jersi putih LTdL

Jackson ungguli peringkat ketiga, Aiman rampas jersi putih LTdL 2023

GEORGE Jackson dari Pasukan Bolton Equities Black Spoke meraih tempat pertama dalam perlumbaan Peringkat 3 dari Jeli, Kelantan menuju ke Baling, Kedah sejauh 183.1 km pada siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Laluan berbukit pada perlumbaan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang berlangsung dari Jeli ke Baling hari ini memberikan cabaran sengit buat kesemua 128 pelumba.

Begitupun perlumbaan ini diselubungi dengan insiden kemalangan jalan raya membabitkan van pasukan yang membawa tiga orang pelumba Giant Cycling Team dari China.

Kesemua mangsa termasuk pemandu van telah dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tidak terkesan dengan insiden berkenaan, kesemua pelumba yang meneruskan perlumbaan bertarung mengharungi jarak sejauh 181.3 kilometer (km) menuju ke Baling.

Pelumba skuad kebangsaan, Muhammad Zawawi Azman mengorak langkah menguasai zon pecutan pertama di km 9.9 Jeli, namun pelumba Euskal Tel-Euskadi, Joan Bou Company kembali mendahului di zon pecutan kedua di km 79.2 Tasik Temenggor.

Perubahan berlaku membabitkan pemilik jersi bintik merah, Raja Bukit yang sebelum ini dipegang pelumba Terengganu Polygon Cycling (TSG), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki apabila pelumba Tudor Pro Cycling, Simon Pellaud mempamerkan kayuhan memberangsangkan untuk menawan tiga zon dakian iaitu di km 31.7 Jeli, km 47.7 Puncak Titiwangsa serta km 87.7 Seri Banding, manakala zon dakian terakhir di km 145.7 Sungai Rui milik Simon Carr dari pasukan EF Education-Easypost.

Kayuhan Pellaud itu melayakkannya untuk menjadi pemegang baru jersi bintik merah, Raja Bukit apabila mengumpul keseluruhan 20 mata.

Menuju ke penghujung perlumbaan, pelumba pasukan Bolton Equities Black Spoke, George Jackson memecut laju untuk menjuarai saingan dengan catatan 4 jam 14 minit 13 saat.

Tempat kedua Enrico Zanoncello (Green Project Bardiani-CSF Faizane), sementara Carlos Blanco (Euskal Tel-Euskadi) berpuas hati di tempat ketiga.

“Saya rasa sudah berikan kayuhan terbaik hari ini, walaupun saya bukannya seorang pendaki tulen. Saya berada di kedudukan terbaik dan sentiasa mengejar pelumba lain sepanjang perlumbaan.

“Apa pun saya gembira dapat menyelesaikan tugas ini, kerana saya sentiasa yakin sebab kami membentuk persefahaman mantap sejak Tour Taihu Lake,” jelas Jackson.

Biarpun mengakhiri perlumbaan di tempat kedua, Zanoncello berjaya merampas jersi hijau, pendahulu keseluruhan daripada Arvid De Kleijn. Mujur De Kleijn masih lagi berjaya mengekalkan jersi jingga, Raja Pecut.

Paling membanggakan, pelumba skuad kebangsaan, Nur Aiman Rosli mencipta kejutan untuk merampas jersi putih, Pelumba Terbaik Asia yang sebelum ini dipegang Tegshbayar Batsaikhan daripada pasukan Roojai Online Insurance.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya