PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara meneruskan rentak cemerlang di bumi Thailand apabila membenam Filipina 4-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan H, kelayakan Piala Asia B-23 2024 sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan anak-anak buah E.Elavarasan mengutip tiga mata penuh untuk mengumpul enam mata maksimum dalam dua perlawanan, sekali gus mencerahkan peluang untuk ke Piala Asia B-23 tahun hadapan.
Dalam aksi di Stadium Chonburi itu, skuad negara berada di hadapan seawal 27 saat pertama perlawanan menerusi jaringan kapten, Mukhairi Ajmal sebelum T. Saravanan menjadikan kedudukan 2-0 pada lima minit kemudian.
Malaysia yang menurunkan skuad terkuat termasuk menurun Nooa Laine dan Luqman Hakim Shamsudin dalam kesebelasan utama berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-23.
Kedudukan 3-0 kekal sehingga berakhir separuh masa pertama dan bersambung babak kedua, Elavarasan melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Aiman Afif Afizul bagi menggantikan Luqman Hakim dan Najmudin Akmal mengambil alih tempat Mukhairi.
Ketiadaan Luqman Hakim dan Mukhairi sedikit memperlahankan rentak permainan skuad negara namun, Filipina gagal mengambil kesempatan itu apabila gerakan yang direncanakan mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan negara.
Pada minit ke-62, Saravanan sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila bijak menyudahkan hantaran Fergus Tierney dari dalam kotak penalti untuk meletakkan skuad negara selesa 4-0 di hadapan.
Kedudukan 4-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan skuad negara akan membuat perhitungan dengan tuan rumah, Thailand dalam perlawanan terakhir Selasa ini bagi merebut slot secara merit ke Piala Asia B-23 2024.- UTUSAN ONLINE