Harimau Malaya hampir lengkap

Harimau Malaya hampir lengkap

PEMAIN Harimau Malaya menjalani proses pemulihan di hotel penginapan mereka di Chengdu, China semalam selepas menentang Syria dalam aksi persahabatan kelmarin. – IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya memberi bayangan ­pasukan itu semakin lengkap menjelang kempen Piala Asia tahun depan.
Kejayaan mengikat Syria yang berada pada ranking ke-94 dunia, berbanding Harimau Malaya menghuni tangga ke-136 dunia membuktikan ranking bukan penentu keputusan perlawanan.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyifatkan Malaysia kini setaraf dengan pasukan 100 terbaik dunia, selepas bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk seri 2-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China kelmarin.

Pan Gon berkata, berdasarkan prestasi pada perlawanan persahabatan itu, anak buahnya mampu untuk memberi saingan kepada pasukan yang memiliki ranking lebih baik daripada Malaysia.

“Secara amnya pada separuh masa pertama, prestasi kita agak bagus, kita setara dengan pasukan ke-94 dunia.

“Saya rasa ada dua kesilapan yang menghukum kami, namun pada separuh masa kedua kita tunjukkan ketahanan dan sikap Harimau Malaya yang mampu mengejar semula permainan dan memberikan tentangan sehingga ke akhirnya,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium East-Town Football Park di Chengdu, dua gol jaringan dua pemain simpanan Akhyar Rashid dan Darren Lok masing-masing dalam separuh masa kedua, menafikan harapan Syria untuk menang selepas mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, menerusi jaringan Mardek Mrdkian dan Yasin Alsamya.

AKHYAR Rashid meraikan gol pertama Harimau Malaya. – IHSAN FAM

Sementara itu, Pan Gon ­mengakui kebangkitan daripada ketinggalan dua gol menunjukkan pemain tidak mudah putus asa dan mampu beraksi dalam tekanan.

Menjelang aksi berdepan ­China esok, jurulatih dari Korea Selatan itu akan meneruskan eksperimen taktikal ketika bertemu China bagi melihat keupayaan skuad kebangsaan apabila berhadapan dengan lawan yang kuat.

“Sekarang kita nak uji beberapa cara taktikal dan juga merasai kekuatan pasukan yang berkedudukan ke-80 dunia.

“Kami mahu tahu kedudukan kami, jadi kami akan berterusan menyerang mereka, saya rasa kita perlu bermain agresif dan memberikan cabaran.

“Kami perlu lakukan yang terbaik untuk menyerang dan cuba untuk menang,”ujarnya.

Sementara itu, Akhyar berharap yang pasukan dapat meneruskan momentum pada separuh masa kedua menentang Syria, ketika berhadapan dengan China.

“Alhamdullilah, kita dapat bangkit 2-2 dan harap momentum ini dapat diteruskan pada aksi berdepan China.

“Aksi separuh masa pertama juga bagus tapi babak kedua kita lebih bagus dan mampu ­menjaringkan gol,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya