SHAH ALAM: Peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Setia Alam ke Kuala Lumpur hari ini peluang terakhir buat dua pasukan tempatan, Terengganu Polygon Cycling (TSG) dan skuad kebangsaan Malaysia merebut kedudukan podium.
Jarak perlumbaan sejauh 156.6 kilometer (km) yang akan berakhir di Menara Berkembar Petronas dilihat laluan yang akan menguji kemampuan pakar pecut untuk setiap pasukan.
Setakat ini, TSG dua kali menyambar jersi bintik merah (Raja Bukit) menerusi Nur Aiman Zariff di peringkat pertama serta Nur Amirull Fakhruddin Mazuki peringkat ketiga.
Malaysia pula melakar kejutan dengan merampas seketika jersi putih (Pelumba Terbaik Asia) menerusi Nur Aiman Rosli di peringkat yang sama.
Begitupun kedua-dua pasukan belum berjaya menaiki podium sebagai pemenang peringkat perlumbaan.
Kali terakhir pelumba tempatan berjaya menawan peringkat perlumbaan adalah menerusi Mohd. Harrif Saleh ketika edisi 2020.
“Saya kena tengok perancangan pasukan, jika ada peluang untuk saya melakukan pecutan, saya akan cuba kerana peluang masih ada.
“Tetapi ia bergantung kepada rezeki, kerana kadang-kala kita sudah melakukan yang terbaik tetapi tahap perlumbaan sini semakin tinggi.
“Kalau ikutkan perancangan asal, kita juga mahu bantu Jambaljamts (Sainbayar) untuk rampas jersi putih. Apa pun kita tunggu perlumbaan esok (hari ini),” jelas Harrif.
Begitu juga pelumba kebangsaan, Muhammad Shaiful Adlan Shukri yang belum bersedia mengibar bendera putih untuk cuba menaiki podium di laman sendiri.
“Selagi perlumbaan belum tamat, kami masih mahu melakar keputusan yang terbaik yang kami semua berpuas hati,” katanya.
Tiga jersi utama pula dilihat sukar digugat menjelang hari terakhir perlumbaan, dengan Simon Carr (EF Education-Easypost) yang memegang jersi hijau, pendahulu keseluruhan berpeluang cerah ditabal sebagai juara, diikuti Arvid de Kleijn (jersi jingga, Raja Bukit), Simon Pellaud (jersi bintik merah, Raja Bukit) serta Vadim Pronskiy (jersi putih, Pelumba Terbaik Asia).